10 (+1) Tips Paling Penting Untuk Pergi Beraya Dengan Anak-anak

Post ini dikongsikan di laman Facebook 'Muslim Kid Genius' yang diusahakan oleh Puam Umm Annisa yang banyak menulis tentang Keibubapaan dan Pendidikan Anak-anak dalam Islam. Puan Umm Annisa mempunyai kelulusan peringkat Master dalam Pendidikan dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang yang sama. 

Beliau telah berkongsi pengalamannya membawa empat orang anak-anaknya menziarahi saudara-mara pada Hari Raya, dan bagaimana ziarah Aidilfitri itu menjadi satu pengalaman yang tidak menyenangkan. Post asal beliau ditulis dalam Bahasa Inggeris boleh didapati di sini. Kami terjemahkan ia ke dalam Bahasa Melayu untuk dikongsi dengan para pembaca TambahCheese.com.

Apa yang harus anda lakukan untuk kekal tenang semasa berhari raya?



Kejadian ini berlaku kepada diri saya sendiri pada Hari Raya Aidilfitri dahulu. Saya membawa keluarga saya termasuk empat orang anak-anak untuk meziarahi seorang saudara yang sudah lanjut usianya, anak-anak saya pada ketika itu masih kecil, semuanya berusia 6 tahun ke bawah. Rumah yang kami kunjungi itu dihiasi perhiasan-perhiasan yang memukau, kristal-kristal bergemerlapan dan perabot yang unik. Oleh kerana mereka tidak mempunyai anak, kami ingin menemani mereka menyambut Hari Raya bersama-sama. Sepanjang kunjungan kami, anak-anak amat kagum dengan rumah mereka. Meskipun kami sudah berpesan dan mengingatkan mereka supaya tidak menyentuh apa-apa dan hanya duduk sahaja, anak-anak kecil ini masih aktif dan tidak boleh duduk dan berdiam sahaja. Kami segera meminta diri, tetapi tuan rumah masih mahu meneruskan perbualan. Melihat anak-anak saya yang aktif, mereka mula memberi komentar:
Kenal tak sepupu kamu yang ada anak 8/9/10 orang tu? Anak-anak mereka boleh pula duduk diam. Kenapa anak-anak kamu tidak boleh yea? Mesti kamu tak tahu mendidik anak ni?
Setengah jam kemudian, mereka masih lagi bercakap tentang anak-anak saya, mencari kesalahan demi kesalahan mereka, sambil membanding-bandingkan mereka dengan kanak-kanak lain yang 'duduk diam dan tidak pernah menangis apabila berada di rumah orang lain'.

Saya merasa sungguh kecewa dengan perbuatan mereka. Sejurus selepas kami meminta diri, saya hampir terduduk dan menangis. Saya merasakan betapa saya seorang ibu yang tidak guna. Saya merasa rendah diri apabila dibandingkan dengan sepupu yang mempunyai 8 orang atau lebih anak-anak. Mereka telah menyalahkan saya atas sifat ingin tahu anak-anak saya! Kata mereka, saya patut mengaji Quran lebih banyak, atau memperbanyakkan solat dan doa. Saya merasa resah kerana mereka mempersoalkan tahap Iman saya berdasarkan sikap anak-anak saya semasa satu jam kami berada di rumah mereka.

Isu di sebalik kejadian ini hanya satu - Manusia ini bersifat suka menilai dan menghukum. Sebaik manapun seseorang itu akan tetap dinilai dan dihukum oleh manusia-manusia lain.



Beliau juga telah berkongsi tips-tips berguna untuk membantu para ibu bapa mengawal anak-anak apabila mereka mula keletihan ketika menghadiri sesuatu majlis. 

Selepas beberapa kali berada dalam situasi yang sama, saya telah mengambil beberapa langkah untuk melindungi anak-anak dan keluarga daripada rasa gementar dan tertekan semasa menziarahi orang lain di hari raya.

  1. Jangan berkunjung ke rumah orang ketika waktu tidur anak-anak. Kanak-kanak yang lapar dan keletihan akan sentiasa merungut dan 'meragam'. Elakkan kejadian ini dengan memastikan mereka mendapat rehat yang cukup dan tidak lapar.
  2. Jika ada yang mula membanding-bandingkan atau memberi komen tentang anak-anak anda, jauhkan anak-anak daripada orang tersebut kerana anak-anak boleh memahami dan berkecil hati. Seorang ibu boleh merasa tertekan dan sedih hatta jika ada orang membanding-bandingkan antara anak-anaknya, contohnya anak yang sulung berkulit cerah berbanding adiknya, atau anak yang lain lebih cantik daripada adik-beradik yang lain. Jika ini berlaku, jauhkan anak-anak anda daripada racun tersebut.
  3. Jika orang lain mendesak anda untuk menziarahi ramai orang dalam masa satu hari, sedangkan anda tahu anak-anak anda akan mula merasa keletihan, hadkan waktu ziarah kepada beberapa jam sahaja.
  4. Siapa yang menetapkan bahawa ziarah hanya boleh dilakukan di Hari Raya? Anda boleh sahaja menziarah pada hari-hari lain untuk mengelakkan jumlah tetamu yang ramai pada satu-satu masa.
  5. Jika anda mempunyai anak yang ramai dan tidak mampu mengawal mereka semua, mintalah bantuan daripada orang-orang dewasa yang lain untuk membantu anda.
  6. Apabila anak-anak sudah agak besar dan boleh memahami, terangkan kepada mereka tentang adab menjadi tetamu dan berilah hadiah atau pujian atas kelakuan baik mereka.
  7. Berhati-hatilah apabila ada yang mula bertanya tentang pencapaian atau persekolahan anak-anak anda. Anda pasti tidak mahu mengundang rasa tidak selesa kepada ibu bapa lain. Ingat, jangan sekali-kali terlalu membanggakan-banggakan kelebihan anak anda.
  8. Jika ada ibu bapa lain yang berbangga-bangga akan anak mereka, berhati-hati juga untuk mengelakkan anak-anak anda daripada mendengar perkataan mereka dan membuatkan mereka merasa rendah diri.
  9. Jika anak-anak anda sedang berseronok bermain-main dengan sepupu-sepupu, kadangkala mereka enggan pulang. 10 minit sebelum pulang, pastikan mereka sudah berhenti bermain dan bersedia untuk pulang. Ingatkan mereka sekali lagi 5 minit sebelum anda mula mengenakan kasut.
  10. Tips yang terakhir adalah, jika anda sendiri berasa penat dan tidak larat, bawalah anak anda pulang. Ini adalah langkah yang jauh lebih baik daripada memarahi anak-anak di rumah orang lain yang membuatkan mereka merasa malu dan sedih.
  11. Tips paling penting ialah sentiasa mulakan perjalanan dengan doa agar segala urusan dipermudahkanNya!
Kami berharap perkongsian ini sedikit sebanyak membantu anda terutamanya ibu-ibu muda yang mempunyai anak-anak yang masih kecil ketika berkunjung di rumah saudara-mara di Hari Raya atau apabila menghadiri sebarang majlis. Sesungguhnya, anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai, bukan beban!

0 comment... add one now