Doktor Muda Mati Kemalangan Selepas Kerja Oncall Melebihi 24 Jam , Dan Ini Bukanlah Kes Yang Pertama






Sebuah kemalangan berlaku 3km  dari hospital melibatkan seorang doktor yang baru habis dari Oncall selama 33 jam. Dr Afifah, 27  yang masih mempunyai seorang anak kecil, pecah dada, dan kepalanya kerana Kelisa yang dinaikinya melanggar pokok. Suaminya yang juga seorang doktor yang ketika itu masih bekerja, bergegas ke tempat kemalangan.



Kisah ini diambil dari status Doktor Mahyuddin Mohamed.

Kami para doktor dan petugas kesihatan dikejutkan dgn berita kemalangan jalanraya yg menyebabkan kematian seorang pegawai Perubatan Bius dari Hospital Sungai Buloh petang semalam (8/7/2015). Mengikut siasatan awal jabatan beliau, beliau memandu pulang setelah Oncall hari sebelumnya. Dimaklumkan bahawa Oncall beliau agak sibuk dengan pelbagai kes kecemasan.

Kami bukan sahaja berkongsi kesedihan dgn keluarga arwah, namun dihati kami turut terpendam rasa geram dan marah dengan sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia sejak sekian lama.

Cubalah tanya kepada doktor-doktor di Malaysia ni, pernahkah mereka terlelap ketika memandu? Jawapannya sudah pasti, "Ya". Keluarga saya sendiri yg ada 8 orang doktor, semuanya pernah terlelap. Isteri saya pernah terbabas ke bahu jalan, 2 adik ipar saya terlelap dan tersondol kereta di depan ketika mereka beratur nak bayar tol & saya sendiri pernah melanggar divider ketika memandu. AlhamdulilLah kami masih bernyawa. Pakar yang dikejutkan beberapa kali oleh Pegawai Perubatan kerana konsultasi kes pun akan mengantuk akibat tidur terganggu, apatah lagi Pegawai Perubatan yang langsung tidak tidur pada malam harinya?

Tahun lepas sahaja, 2 orang Pegawai Perubatan saya di Temerloh terbabas, kedua-duanya postcall. Seorang di Karak ketika menghala ke KL manakala seorang lagi di Maran ketika beliau hendak ke Kuantan. Kereta mereka 'total loss', namun umur mereka masih panjang.

Insiden kemalangan akibat terlalu mengantuk & keletihan akibat postcall semakin meningkat. Perlukah kita tunggu lebih ramai doktor meninggal sebelum langkah konkrit diambil bagi mengubah sistem kerja kita sekarang?

Hampir semua disiplin klinikal (kecuali Bius) di hospital memerlukan doktor (pegawai perubatan) yang Oncall untuk bekerja minimum 33 jam (8 pagi hari ini sehingga 5 petang keesokkan harinya). Jabatan Bius di sesetengah hospital memberi 'PostCall Off atau Half-Day Off' kepada Pegawai Perubatan selepas mereka Oncall.

Keadaan lebih baik bagi Pegawai Perubatan Siswazah (houseman) sekarang dimana mereka TIADA lagi sistem Oncall sebegini dan melakukan kerja secara "Shift" (namun shift ini juga terdapat variasi bergantung kepada guideline dan keperluan setiap hospital).

Kita juga tahu sekarang jumlah Pegawai Perubatan sekarang adalah lebih ramai akibat pengeluaran graduan perubatan baru melebihi 5000 orang setiap tahun.




Cadangan saya bagi penambahbaikan:

1. Setiap doktor yang PostCall bagi SEMUA jabatan perlu diberi 'PostCall Day Off' selepas passover jam 8 pagi.

2. Ataupun, kita juga boleh menggunakan Sistem Shift houseman sekarang bagi menggantikan sistem Oncall Pegawai Perubatan bagi mengurangkan tempoh mereka bekerja dan membolehkan mereka mendapat rehat yang mencukupi. Ini sudah pasti ada pro dan kontra dan pastinya akan ada pihak yang tidak akan bersetuju.

3. Bagi adik-adik saya Pegawai Perubatan sekalian, pastikan anda tidur dahulu sebelum pulang. Pastikan anda tidak mengantuk. Sekiranya mengantuk, berhenti dan take a nap. Ataupun dapatkan pasangan atau ibubapa anda bagi membawa anda pulang. Saya tahu anda rindukan anak-anak anda yang menunggu di rumah, mungkin juga anda perlu mengambil anak anda di taska, memasak dan sebagainya, namun, apa sahaja alasan anda nyawa & keselamatan anda adalah lebih utama.

4. Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang tip-top. Sebaiknya kenderaan yang kukuh dengan airbag dan sistem keselamatan yang terbaik. Ini pastinya memerlukan pelaburan duit namun ianya berbaloi. Nyawa kita tiada galang gantinya.

5. Bagi rakan-rakan pakar sekalian, juga peringkat pengurusan tertinggi, sudah tiba masanya kita buang sifat "Masa I dulu tak tidur 2 hari pun okey aje!", "masa I dulu kalau Oncall, elaun RM25 aje sehari, Oncall 10 kali sebulan baru RM250, aku tak komplen pun!" Sekiranya kita boleh menjadikan kerjaya kita lebih baik bagi adik-adik kita, doktor-doktor baharu apa salahnya kita berubah. Ubah sistem ke arah yang lebih baik. Doktor yang cukup rehat InsyaAllah akan dapat berkhidmat dengan lebih Mesra dan cemerlang kepada pesakit. Risiko berlakunya kesilapan (medical error) juga InsyaAllah akan dapat dielakkan.



Semoga pemergian arwah menjadi titik tolak ke arah penambahbaikan bagi para doktor dan petugas kesihatan yang lain di Malaysia.
Kita sama2 berdoa agar tiada lagi kemalangan dan kematian akibat keletihan atau mengantuk selepas bekerja malam.

Takziah buat keluarga Arwah Dr. Afifah. Semoga beliau ditempatkan dikalangan hamba-hambanya yang bertakwa. Al-Fatihah.



KAMI DI TAMBAHCHEESE.COM MENGUCAPKAN TAKZIAH BUAT KELUARGA DR AFIFAH. MENGELAKKAN KES SEBEGINI DARI BERLAKU LAGI, KAMI AKAN PERJUANGKAN HAK DOKTOR DENGAN SEAGRESIF MUNGKIN . KAMI AKAN PASTIKAN PEMERGIAN DR AFIFAH TIDAK SIA SIA.

Bantu kempen kami dengan menyebarkan hashtag #kkmjanganbunuhdoktorkami.

1 comment... add one now