Empat Ayat Quran Tentang Jihad Di Lowyat

1. Disepuluh malam terakhir Ramadhan, dikala Pesuruh Allah bersungguh-sungguh mengajar untuk mengejar redha Allah, di Malaysia timbul satu lagi “jihad”. Jihad pertahankan samaada penipu atau pencuri. Betol, kisah sebenar hanya Allah yang tahu. Tapi, hasil siasatan awal, inilah konklusinya.

2. Para "mujahidin" mula meviralkan video “parang terbang ayahnda” yang kononnya gerak sendiri bila azan dimainkan. Ya! Azan dimainkan bukan dikumandangkan! Ironi! Sungguh ironi! Mungkin ayahnda tak geti kumandang azan. Sepanjang pengajian sirah saya, tak pernah pula saya belajar Rasulullah atau sahabat sehebat ini. Ya, Ayahnda kami lebih hebat! Percayalah.


3. Lebih menghairankan, bila pertubuhan yang bergerak atas bayangan agama seperti ISMA turut diperbodohkan (atau memperbodohkan). Mari ulangkaji Al Qur’an sedikit.

    a) Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat 49:6)


    b) Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Al-Maidah 5:8)
 
    c) Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; (Al-Furqan 25:63)

    d) Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. (Al-Furqan 25:72)


4. Prof Hamka pernah menyebut “memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”. (Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s 76). Saya yakin kalau HAMKA masih hidup, dia akan tambah di hujung ayatnya “Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah rakyat Malaysia, Cina, Melayu dan India”

0 comment... add one now