'Abah Tengok Tu, Diorang Guna Stroller Murah'




Nilai yang nampak kecil di mata orang dewasa tetapi memberi impak besar dalam kehidupan anak kecil


Ketika pulang ke Malaysia, saya membawa anak-anak berjalan-jalan menaiki tandem pushchair yang biasa kami gunakan di London. Seorang budak lelaki lingkungan usia 5-6 tahun berkata kepada ayahnya. "Papa tengok tu stroller dia 2 tingkat". Bapanya hanya mengerling sekilas. Anak kecil itu kemudian menyambung bertanya, "Mana lagi mahal papa, kita punya ke dia punya?". Si bapa menjawab "Kita punya lagi mahal". Anaknya menambah "Kan, dia punya tu local je tu". Saya hanya mampu menggeleng.


Semasa saya kecil, pernah ada saudara yang lagi muda daripada saya bertanya begini, sewaktu hari raya, " Gelang yang Kak Farah pakai ni emas gred A ke zhullian. Ibu saya kata kalau zhullian tak bagus". Waktu itu saya darjah dua. Soalan seperti itu bukan dalam tahap jangkauan pemikiran saya lagi tapi boleh tercapai akalmu oleh saudara saya yang lebih muda. Sadis bukan?


Pada hari raya lalu, seorang budak bertanya kepada Aqeef, "Wah awak duduk London, pernah naik Lamborghini tak. Kalau naik Ferrari pun ok tapi Ferrari murah sikit. Audi yang paling murah tapi Audi lagi bagus daripada proton. Ayah saya bawak kereta begini". Aqeef terdiam dan terus melarikan diri. Pertama kerana Aqeef waktu itu tidak fasih dan kurang faham bahasa Melayu. Kedua kerana kami memang tidak pernah mengajar anak-anak tentang jenama, baik kereta, baju, tempat makan dan sebagainya. Aqeef tidak pernah merasa teruja melihat kereta mewah yang menjalar atas jalan raya di London kerana dia tidak pernah tahu berapa harga kereta berjenis begini begitu, mana lebih laju mana lebih mewah dan sebagainya.


Persoalan saya, nilai apa yang mahu kita semat dalam diri anak-anak kita? Wajarkah anak-anak yang masih hijau usianya dibiarkan membanding-bandingkan harta benda harga dan jenama serta paras rupa fizikal. Perkara membanding-bandingkan ini tidaklah nampak besar di mata kita orang dewasa sepertimana nilai-nilai utama lainnya - hormati orang tua, jangan membazir, jangan bunuh orang, tapi bagi anak kecil, nilai sebegini memberi impak besar dalam hidup mereka kelak.


Mungkin hari ini mereka menilik stroller siapa lebih mahal, pengalaman menaiki supercar mewah mengikut harga pasaran dan gelang emas tulen atau saduran seperti yang dipakai oleh ibunya, di kemudian hari mereka akan mula membincangkan ibu siapa berkerjaya, pangkat bapa siapa paling besar, kereta keluarga siapa paling mahal, dan lebih teruk mereka mungkin akan mula memperkatakan tentang ketidakupayaan rakan lain, mulai belajar menyisihkan rakan yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan, hanya mahu berkawan dengan orang yang mempunyai standard tertentu, anak-anak orang berkerjaya sekian-sekian, atau pelajar cemerlang yang dapat markah 100% semua subjek. Mereka akan membesar dengan memiliki hati yang tidak perlu kepada rasa empati dan kemanusiaan.


Kita boleh tengok masalah seperti ini dalam sinetron Indonesia misalnya yang anak-anak sekolah rendahnya sudah pandai mengejek rakan satu kelas yang tempang kaki atau compang camping pakaiannya, anak-anak sekolah menengah atasnya baru berusia belasan tahun sudah bergaya dengan kereta mewah ke sekolah, memulaukan anak penjual bakso. Ataupun dalam cerita Hollywood bila gadis berbadan cantik dari kumpulan sorak bersama dengan pelajar lelaki sasa pemain football bersatu hati membuli gadis gemuk dan jejaka autistic sehingga mengakibatkan tekanan dalam diri mangsa buli dan menimbulkan keinginan bunuh diri atau melakukan pembunuhan beramai-ramai (massacre) kerana rasa tidak puas hati dibuli dan dipulau.


Apabila anak yang semasa kecilnya tidak dibendung atau memang dengan sengaja diajar membanding-bandingkan harta, harga dan jenama, rupa paras, taraf hidup ini meningkat dewasa, masalah membanding-banding akan berlarutan menjadi masalah lain pula. Mereka akan mula membandingkan diri dengan orang lain, melahirkan rasa tidak berkecukupan dan payah untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki serta sanggup berbuat sesuatu melebihi kemampuan diri seperti berhutang keliling pinggang, rasuah, pecah amanah untuk membeli barangan mewah, atau menjalani pembedahan plastik tahap ekstrem untuk kelihatan cantik demi memastikan dia juga mampu melakukan atau memiliki apa yang orang lain ada. Ia dipanggil persaingan tidak sihat.


Anak-anak kecil kita, terlalu muda untuk dibebankan dengan agenda membandingkan perkara-perkara yang tidak perlu, untuk hidup dibelenggu jenama dan harga serta keinginan untuk tampil cantik bergaya secara keterlaluan dan melulu buta. Jangan biarkan kebiasaan dari kecil merosakkan persepsi dan pegangan hidup mereka apabila dewasa. -

0 comment... add one now