Benarkah Tiket MAS Yang Kita Beli Termasuk Hidangan Arak?



Gempar! Benarkah Tiket MAS Yang Kita Beli Termasuk Hidangan Arak? | Mungkin ada tertanya-tanya, benarkah tiket MAS yang kita beli selama ini sebenarnya termasuk dalam caj hidangan arak. Perkara ini ada ditimbulkan di dewan rakyat berkenaan isu arak di dalam kapal terbang. Sebagai penumpang MAS, kita sebenarnya boleh meminta apa sahaja bentuk minuman termasuklah minuman arak. Maka secara tidak langsung, segala kos pembelian tiket dikira termasuk dalam caj hidangan arak. Syubhah bukan? Boleh baca ulasan di bawah ini?



KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat minggu lalu dikejutkan dengan pemakluman bahawa harga setiap tiket yang dibeli penumpang adalah termasuk dengan kos hidangan yang disediakan dalam peswat MAS termasuk arak.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Kaprawi sebagai menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) yang bertanyakan sama ada minuman keras diberi secara percuma atau sebaliknya.

“Tuan Pengerusi, memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, maka ia termasuk dengan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang,” katanya.

Jawapan itu mengundang satu lagi kekhuatiran daripada Khalid yang mendakwa ia bermakna setiap orang yang membeli tiket MAS adalah bersubahat menyumbang kepada kos hidangan arak, sekalipun tidak meminumnya.

“Jadi maknanya tiket yang saya beli saya subsidikan air arak untuk orang. Ini yang tidak betul ini.


“Saya rasa kebanyakan daripada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa kalau ada penumpang yang hendak minta arak ini pun kena bayar. Kalau tidak, akhirnya sama ada kita sedar atau tidak, kita bersubahat,” katanya.

Kuasa menteri

Dalam pada itu Mohamed Hanipa bin Maidin (PAS-Sepang) mendakwa isu hidangan arak ini adalah lebih kepada kuasa menteri.

Menurutnya, jika menteri boleh memberi arahan dan kata putus, ia boleh diselesaikan dengan mudah.

“Saya rasa dari segi isu menghidang arak ini, dia lebih kepada kuasa Menteri. Menteri ada kuasa. Kalau Menteri boleh bagi arahan, saya rasa tidak ada masalah.

“Saya mendengar jawapan Menteri ini, kita makin takut. Kita ingat selama ini tiket itu tidak ada kena-mengena dengan pembelian arak.

“Yang Berhormat Menteri menyebabkan orang Islam yang mendengar jawapan itu menjadi takut hendak naik MAS lagi dah. Maknanya kita ada saham pula. Selama ini kita tak jangka benda macam ini berlaku,” katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata MAS sedang dalam proses penstrukturan semula dan akan membuat model perniagaan baharu yang mungkin akan menukar sistem sedia ada yang dipertikai itu.

Terdahulu, isu pakaian menutup aurat oleh pramugari dan hidangan arak di dalam pesawat MAS dibangkitkan oleh Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) ketika membahaskan Bajet 2015 peringkat Kementerian Pengangkutan.

Marzuk meluahkan kekecewaan terhadap jawapan pihak kementerian yang mendakwa hidangan alkohol dalam pesawat sebagai meraikan kepelbagaian pelanggan dan kehendak pelanggan antarabangsa.

“Kalaulah ini sebagai hujahnya, maka apa akan jadi kepada orang yang duduk di sebelah penumpang yang minum minuman keras yang akhirnya mabuk dan mengganggu penumpang sebelah yang tidak minum minuman keras.

“Kita bukan hendak menafikan privasi penumpang penumpang non Muslim yang menaiki pesawat-pesawat antarabangsa ini. Akan tetapi kalaulah privasi mereka diutamakan, bagaimana pula dengan privasi kita?” soal beliau.

Pandangan oleh ahli-ahli parlimen PAS itu turut disokong aleh ahli-ahli parlimen Umno termasuk Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis), Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub (BN-Machang) dan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah).

Kesemua mereka bersetuju agar hidangan arak dihentikan dan pakaian pramugari ditetapkan supaya menutup aurat.

Timbalan Menteri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi dalam penggulungannya berkata beliau akan mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan termasuk tiket yang siap dengan makanan yang sudah lama diamalkan.

“Maka sebab itu saya yakin dengan penstrukturan MAS nanti, ia akan membuat pendekatan new business model yang lebih rapi dan lebih Islamik,” katanya.

Berikut adalah petikan perbahasan 11 Nov 2014 mengikut penyata rasmi (Hansard) parlimen.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Adakah benar bahawa minuman-minuman keras ini dibekalkan secara percuma?

Datuk Ab. Aziz bin Kaprawi: Tuan Pengerusi, memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, maka ia termasuk dengan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Jadi maknanya tiket yang saya beli saya subsidikan air arak untuk orang. Ini yang tidak betul ini. Saya rasa kebanyakan daripada syarikatsyarikat penerbangan antarabangsa kalau ada penumpang yang hendak minta arak ini pun kena bayar. Kalau tidak, akhirnya sama ada kita sedar atau tidak, kita bersubahat.

Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Malaysia boleh.

Datuk Ab. Aziz bin Kaprawi: Untuk makluman Tuan Pengerusi, mengenai syarikat penerbangan MAS ini, ia dalam proses penstrukturan semula. Dalam konteks ini, ia akan menggunakan satu new business model. Jadi kemungkinan new business model yang akan diterajui oleh satu syarikat yang baru ini dan seorang CEO yang baru nanti, ia akan dapat merubah sistem ini seperti mana kehendak harapan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Sikit boleh? Sikit, sikit.

Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [Sepang]: Yang Berhormat Menteri, saya rasa dari segi isu menghidang arak ini, dia lebih kepada kuasa Menteri. Menteri ada kuasa. Kalau Menteri boleh bagi arahan, saya rasa tidak ada masalah. Saya mendengar jawapan Menteri ini, kita makin takut. Kita ingat selama ini tiket itu tidak ada kena-mengena dengan pembelian arak.

Yang Berhormat Menteri menyebabkan orang Islam yang mendengar jawapan itu menjadi takut hendak naik MAS lagi dah. Maknanya kita ada saham pula. Selama ini kita tak jangka benda macam ini berlaku. Itu yang pertama.

Yang keduanya Yang Berhormat Menteri, kalau kita hendak katakan syarikat, banyak juga syarikat penerbangan lain yang tidak hidang arak langsung. Maknanya boleh. Akan tetapi dalam masa yang sama saya tahu Yang Berhormat Menteri mungkin cater kepada penumpang yang bukan Islam. Dalam konteks itu, kalau hendak beri pun mestilah ada had dia.

Yang ketiganya Yang Berhormat Menteri, apabila ada hidangan arak ini, yang lebih concern ialah pramugari dan pramugara yang beragama Islam. Maknanya mereka concern sebab mereka terpaksa menjalankan tugas itu walaupun dengan tidak reda. Jadi macam mana kita hendak menjaga sensitiviti orang Islam yang bekerja itu?

Sudahlah dengan gaji yang rendah, selepas itu terpaksa buat benda itu dalam keadaan kita tahu bagaimana kes ada seorang pramugari apabila mengandung diberhentikan kerja. Ini semua berlaku dalam MAS. Jadi saya harap, benda ini Yang Berhormat Menteri kena ada satu pendirian. Kerajaan ada satu pendirian tentang isu ini. Terima kasih.

Tuan Pengerusi [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya. Yang Berhormat Bachok dan Yang Berhormat Lipis.

Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary [Bachok]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Sikit sahaja saya hendak penjelasan, saya bangkitkan dalam perbahasan tadi berapa banyak kes yang pernah berlaku gangguan oleh orang yang minum arak kemudian mabuk atas kapal terbang khususnya kepada pramugari-pramugari yang bertugas ini.

Datuk Ab. Aziz bin Kaprawi: Tuan Pengerusi, apa juga pandangan-pandangan ahli Yang Berhormat mengenai apa yang dibangkitkan mengenai arak dan juga pakaian, saya akan bawa perkara ini kepada pengurusan MAS untuk di…

Datuk Ab. Aziz bin Kaprawi: Okey, Ahli-ahli Yang Berhormat, saya akan mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan. Tadi mengenai tiket yang siap dengan makanan, ini perkara ini memang dah lama dah. Maka sebab itu saya yakin dengan penstrukturan MAS nanti, ia akan membuat pendekatan new business model yang lebih rapi dan lebih Islamik.

0 comment... add one now