Kisah 'Robin Hood Palestin' mencuri bank Amerika






Bergantung kepada siapa soalan itu ditujukan, penggodam Hamza Bendelladj boleh jadi seorang Robin Hood atau seorang samseng alam maya.

Graduan komputer sains kelahiran Algeria itu berdepan hukuman di mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan menggunakan virus komputer untuk mencuri daripada lebih 200 bank dan syarikat kewangan negara itu.

Lelaki 27 tahun itu bagaimanapun kemudian mendermakan jutaan dolar untuk kerja-kerja amal di Palestin, sebuah negara bergolak akibat perang tak kunjung padam dengan Israel, lapor Al Jazeera.

Bendelladj didakwa antara pencipta bersama kuda troy (trojan horse) SpyEye, yang didakwa muncul oleh pihak berkuasa AS pada 2011.

Program itu mencapai puncak populariti pada 2009 hingga 2011 dan dipercayai menjangkiti lebih daripada 1.4 juta komputer di AS dan seluruh dunia.

Beliau sebelum ini telah mengaku bersalah dan berdepan hukuman maksimum penjara lebih 65 tahun atau denda sehingga AS$14 juta, menurut Jabatan Keadilan AS.

Bendelladj yang dikenali di alam maya sebagai Bx1 ditangkap pihak berkuasa Thailand di negara itu sebelum dihantar ke AS dua tahun lepas.




'Penggodam Gembira'

Beliau dikenali sebagai “Penggodam Gembira” kerana sering membiarkan gambarnya diambil dalam keadaan tersenyum ketika di lapangan terbang Suvarnabhumi, Thailand.

Bendelladj dikenal pasti oleh penguatkuasa undang-undang AS selepas dikatakan menjual salinan virus SpeEye kepada pegawai yang menyamar dengan harga AS$8,500.

Pihak berkuasa AS menyalahkan Bendelladj dan pengguna SpyEye sebagai bertanggungjawab membina jaringan besar komputer yang boleh digunakan untuk menggodam maklumat kewangan dan peribadi.

Jaringan itu dikenali sebagai “botnet”.

Di sebalik jenayah itu, di alam maya, ramai mengangkatnya sebagai seorang wira.

“Wira Algeria ini hanya 1/10 daripada penggodam bahaya. Godam 217 bank, hantar $280,000,000 ke Palestin. Hukumannya?” tulis @Hassan_JBr yang diulang tweet lebih 4,500 kali di Internet.

Penulis berkaitan perang siber Martin Libick berkata, perlawanan berdepan penggodam seperti Bendelladj akan mengambil masa cukup panjang.

0 comment... add one now