Untungnya Kehidupan di Malaysia Berbanding Jerman





Jom saya ceritakan mengapa orang yang tinggal di Malaysia lebih untung dari orang di Jerman. Saya akan senaraikan 10 perkara penting yang dinikmati oleh rakyat Malaysia dan memang orang Jerman tak boleh lawan. Untuk perbandingan ini memang Malaysia menang 10-0 ke atas Jerman. Cukup untuk membalut luka kekalahan bolasepak ke atas UAE dengan skor yang sama tempohari.



1. Membeli Belah

Orang di Jerman boleh membeli belah hanya 6 hari seminggu dan cuma setakat jam 8 malam sahaja. Lepas 8 malam kedai dan shopping complex semua dah tutup. Dah le 7 eleven pun takde, jadi kalau emergency nak beli apa tengah-tengah malam maka simpan sahaja lah niat anda tu. Tunggu lah kedai buka esok pagi yer. Itu pun kalau pagi esoknya tu hari Sabtu, kalau hari Ahad maka kena redhalah dan tunggu hari Isnin sebab hari Ahad semua kedai dan shopping complex tutup. Jadi terpaksalah orang Jerman menghabiskan cuti hari Ahad bersama keluarga dan anak-anak dengan pergi berkelah atau abermain di taman. Kesian kan diaorang tak boleh pergi shopping.

Kalau di Malaysia, boleh shopping 7 hari seminggu sampai jam 10 malam, kadang-kadang ada shopping complex atau supermarket bukak sampai jam 11 malam.Kalau taknak membeli belah pun boleh habiskan masa yang banyak tu dengan berjalan-jalan atau lepak layan facebook guna wifi free. Kalau nak beli barang jam 2 pagi boleh pergi 7 eleven atau banyak lagi kedai yang bukak 24jam. Atau pergi Uptown kalau teringat nak beli kasut jam 3 pagi. Jadi dengan membeli belah 7 hari seminggu maka kita rakyat Malaysia merancakkan ekonomi negara.

Jadi, untunglah orang Malaysia boleh shopping 24 jam dan negara bertambah maju. Orang Jerman pula peluk anak dan bini dan tidur memendam rasalah jawabnya. Malaysia skor 1-0 kat sini.

2. Makan Minum

Di Malaysia nak makan apa semua ada. Restoran bukak 24 jam, kalau lapar jam 3.48 pagi pun boleh start kereta atau motor dan menderum ke mamak. Kalau malas nak keluar boleh telefon dan order sahaja. Boleh makan 5-7 kali sehari bermula selepas subuh sehinggalah ke subuh keesokan harinya. Kalau tak nak masak di rumah pun tak apa sebab 365 hari setahun 24 jam sehari kita boleh dapat makan di mana-mana sahaja. Restoran makanan segera pun banyak, boleh beli fries dan coke kemudian duduk 6 jam sambil guna wifi free. Lepas dah habis boleh terus blah saja. Balik rumah terus boleh tidur sebab perut dah kenyang. Alhamdulillah, kita semua sihat dan cukup makan.

Di Jerman pula, kalau dah makan fries tu dah habis kena lap meja sendiri, kena susun kerusi sendiri dan kena buang sampah dan tray ke tempat yang disediakan. Dah ler bayar duit, kena kemas sendiri pulak. Apa ke hal. Restoran pula biasanya tutup pukul 10 malam. Kafe dan bar tutup sekitar 12malam dan kalau malam minggu diorang lajak sampai kul 1 atau 2 pagi. Itu pun takde makanan dah, setakat nak minum kopi boleh lah. Hari Ahad semua shopping complex tutup, restoran dan kafe pun separuh jer yang bukak, kadang-kadang dah muak makan di tempat yang sama, akhirnya balik rumah makan salad dan roti sahaja. Nak tidur pun awal lagi maka masing-masing pergi ke gym ataupun berjogging sekitar taman. Itu sebab lah orang Jerman kurus-kurus gamaknya. Tak berapa cukup makan.

Untunglah orang Malaysia, makan mewah. Malaysia mendahului dengan 2-0.

3. Anak-anak.

Kanak-kanak di Malaysia sangat beruntung sebab boleh tidur lambat. Pukul 9-10 malam boleh ikut mak bapak pergi shopping lagi. Boleh lepak-lepak kedai mamak atau gi tengok midnite cerita Transformers. Balik rumah jam 12 malam atau 1 pagi dan tidur kemudian esok bangun lambat takde hal punya. Setiap anak-anak sekrang ada gajet masing-masing. Semua pakat ada smartphone ataupun ipad atau tab atau apa saja yang canggih-canggih tu. Maka anak2 boleh main ipad atau tab sambil breakfast kat kedai mamak dan mak bapak boleh layan facebook tanpa gangguan. Kalau ada orang nak salam, anak tadi ada skill hulur tangan sebelah saja sambil mata dan tangan sebelah lagi main ipad tu. Itu merupakan skill koordinasi yang bagus.

Kanak-kanak di Jerman pula malang sekali. Jam 8-9 malam semua dah kena tidur. Takde chance nak gi tengok midnite cerita Transformers. Kalau nak jugak maka kena tunggu pagi Sabtu maka barulah mak bapak bawak pergi tengok. Itu pun kalau cerita tu di label 12PG. Kalau tak memang melepaslah. Kalau bawak anak-anak berjalan di shopping complex jam 9 malam memang jad alien lah sebab memang takde budak2 lain kat dalam tu..awak sorang jer. Silap-silap mau kena tegur dengan makcik-makcik yang bermulut becok marahkan anda sebab bawak budak jalan malam-malam.

Lepas tu jangan harap lah nak berkepit dengan ipad atau tab atau phone dan sebagainya dan lepak kat kafe atau restoran atau di mana-mana kawasan public terutama ketika di meja makan. Biadap katanya kalau main benda alah tu kat meja makan, kena bersembang, kena jawab soalan pasal sekolah lah pasal itu lah pasal ini lah, memang takde chance lah nak main ipad bagai. Ada setengah tu umur dah 6-7 tahun, ipad pun tak pernah pegang. Kesiannnn.

Untunglah kanak-kanak di Malaysia. Malaysia terus mendahului dengan 3-0.

4. Pra-Persekolahan

Kanak-kanak di Malaysia sudah bijak pandai sekitar usia 4-6 tahun sebelum masuk sekolah lagi. Semua dah pandai membaca, mengira, menyelesaikan permasalahan matematik, menjawab pelbagai persoalan sains dan macam-macam lagi. Bila masuk darjah satu semua dah pandai. Ibu bapa kat rumah dah kurang beban mengajar sebab kat tadika semuanya dah diajar. Untunglah mak bapak semua sebab anak dah pandai, dan ada yang boleh speaking dah.

Di Jerman jangan kata speaking, dengar perkataan english pun belum tentu. Dah le rancangan tv semua dalam bahasa Jerman, kartun Spongebob pun dalam bahasa Jerman, macamana nak dengar perkataan English nyer kan? Mak bapak dah sah-sah berbahasa Jerman walaupun diorang tahu bahasa inggeris. Lepas tu di tadika belajar mengenal huruf, membaca dan mengira tu pun sikit sikit sahaja. Kalau yang boleh membaca dan mengira tu memang kira pandailah. Pegi tadika hari-hari main sahaja. Dah penat main, belajar hormat orang, belajar mendengar, belajar bercakap, belajar berdiam bila orang bercakap, belajar hormat orang yang lebih tua, belajar melintas jalan, belajar buang sampah, belajar kemas meja dan basuh pinggan mangkuk selepas makan dan pelbagai pelajaran sivik lain yang sungguh membosankan. Patutlah sampai dah besar panjang tak reti speaking English lagi.Hmmmm.

Nampak tak? Betapa untungnya kanak-kanak di Malaysia. Kita tambah skor lagi menjadi 4-0.

5. Memandu

Di Malaysia, hampir semua pemandu mempunyai deria ke-6 atau 6th sense. Ini kerana pemandu tak perlu bagi signal ketika membelok kerana kita tahu pemandu lain akan tahu atau kompom tahu yang kita akan membelok. Selain itu kalau nak cepat kita drive ikut emergency lane, kalau tak masuk situ rugilah lane tu besar dan membazir kalau tak digunakan. Nak potong que pun takde masalah sebab semua pemandu kita bertimbang rasa dan membenarkan kita potong que (kita tahu melalui deria ke-6 tadi yang pemandu lain tidak akan marah). Lepas tu lampu merah kita tak perlu berhenti, cuma perlu tengok-tengok sahaja kot-kot ada kereta lain, atau dengan gunakan deria ke-6 tadi dan kita pecut sahaja.

Pasal kadar kemalangan maut tu tak payah lah kita kira kan? Itu kan dah takdir dan ketentuan, kalau dah memang ajalnya mati eksiden, kita nak buat macamana kan? Kalau kita pakai seatbelt pun tapi kalau takdir nak mati, maka mati jugak kan?

Di Jerman, jangan harap nak jalan kalau lampu merah. Kalau langgar jugak maka anda kira alien lah sebab anda sorang jer yang buat. Lepas tu orang Jerman takde 6th sense macam orang Malaysia, maka semua orang bagi signal. Kalau jem maka semua terkedek-kedek jer, nak mencilok memang diaorang tak pandai langsung sebab kat sekolah memandu tak ajar semua tu. Kalau naik motor pun que jugak, apa ke pekdahnya naik motor tapi tak reti cilok dan que kat jem macam kereta? Bangang jugak orang Jerman ni. Diorang tak tau nak menggunapakai deria ke 6 tadi sebab tak pernah berlatih menggunakannya.

Kat Jerman pun ada kemalangan maut jugak, takde ler hari-hari. Jarang sangat dengar pasal mati eksiden ni. Mungkin sebab diorang tak pandai mencilok dan takde deria ke-6 tu gamaknya yang buat kurang eksiden. Tak thrill lah orang Jerman ni.

Nampak tak perbezaan yang ketara tu? Kalau anda duduk di Jerman memang hilanglah segala 6th sense atau deria ke-6 anda tadi. Sungguh saya tak tipu. Memang rugi duduk Jerman sebab dah hilang satu deria.

Oleh itu, Malaysia menang lagi 5-0

6. Remaja

Menjadi remaja di Malaysia jauh lebih best berbanding Jerman. Kalau tak nak belajar boleh berhenti sekolah dan mak bapak boleh belikan motor sorang satu. Dah ada motor boleh lah merempit. Merempit ni untung sebab boleh dapat awek. Malam minggu boleh ramai-ramai berkumpul di tepi highway atau dekat plaza tol Puchong tu. Disebabkan ramai maka kereta tak berani nak langgar diorang semua. Lepas tu pakat-pakat race, dapat duit, dapat awek. Kalau yang tak berani race boleh tunjuk skill buat willy ke wikang ke (eh betul ke saya eja tu?). Nanti ada awek tengok sure berkenan di hati dan terus boleh dapat.

Selain itu lagi untung jadi remaja ni, kalau malas macamana pun makan tetap ada, rumah tetap ada sebab mak bapak tanggung. Lepas tu boleh pakai handphone mahal-mahal. Boleh tackle awek kalau handphone canggih lepas tu boleh wechat, tukar-tukar gambar dan pakai bahasa rahsia yang orang lain tak faham seperti “aq xrse kt kn d2q sme stu smp tth woe x2 kke2 kaüf sjs” yang entah apa orang lain susah nak decrypt.

Remaja di Jerman ni, sejak kalah perang dunia ke 2 memang dah tak pakai bahasa atau tulisan rahsia yang nak kena belajar 3 tahun untuk paham. Jadi skill diorang dah memang lemah sangat dah sejak kalah perang. Nak merempit? jauh sekali lah. Motor honda cup pun tak ada, apatah lagi Yamaha LC Demak. Mak bapak diorang pun jarang yang ada kereta, apatah lagi nak beli motor kat anak-anak, memang tak lah. Kalau nak merempit maka kena lah belajar racing, jadi professional kemudian barulah boleh tackle awek. Tu sebab orang macam Michael Schumacher, Sebastian Vettel, Nico Rosberg tu dah tua baru ada awek. Bagi yang tak nak jadi racer maka kena tunggu dewasa dulu lah dah ada duit baru beli motor Ducatti atau BMW tu buat merempit time musim panas.

Rugi, sungguh rugi jadi remaja Jerman ni. Memang remaja Malaysia terutama mat rempit menang besar bab ni. Dah 6-0.

7. Pengurusan Sampah.

Ada tak rakyat Malaysia yang asingkan 4-5 jenis sampah? Sampah bio (sisa makanan atau mudah reput) sampah plastik, botol plastik, botol kaca, kertas atau kotak dan sampah pembungkusan seperti kotak air, tin sardin dan sebagainya? Ada? Penat dan leceh tau nak asing semua sampah tu. Dah ler kat dapur tu kena ada 3-4 biji tong sampah kalau nak asingkan semua. Kita sumbat jer dalam satu tong sampah besar, nanti pandai-pandai lah abang kerja kutip sampah tu asingkan kalau dia nak recycle. kalau tak pun nanti bila sampai pusat pelupusan, ramai orang-orang yang kerjanya dok cari barang kat longgokan sampah tu. Sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka mencari rezeki, betul tak?

Lepas tu kadangkala kita tak perlu tong sampah pun, sambil pandu kereta makan rambutan boleh terus baling keluar tingkap jer kulitnya. Kalau makan kuaci kat hospital sambil tunggu isteri bersalin pun boleh jer buang atas lantai tu, nanti ada makcik cleaner tolong sapukan. Kalau kita tak buat sampah, nanti ramai orang hilang kerja pulak kan? Kesian makcik cleaner tu takde kerja.

Kat Jerman, semuanya nak kena asingkan. Leceh betul, kalau tak asingkan nanti abang angkut sampah tu tengok dia tak ambil, dia buat bodo jer. Jadi nak tak nak kena lah, kalau tak busuk pulak rumah nanti. Sisa makanan seperti tin sardin, kotak air semua nak kena bilas dulu kemudian baru boleh buang, botol kaca hijau lain tong, botol kaca coklat lain tong, botol kaca putih lain tong. Naik menyampah lah. Kalau ada sampah kecil, nak buang rasa bersalah pulak sebab orang tak buang jadi simpan lah dalam poket dan bawak balik rumah.

Nampak tak betapa tersiksanya menguruskan sampah harian di Jerman? Nak tengok lipas pun tak ada, susahlah saya nak tunjuk kat anak macamana rupa lipas yang sebenar. Kat Malaysia jugak yang best. Anak-anak dapat tengok secara live macamana rupa lipas, lalat, tikus mondok, tikus cencorot dan juga burung gagak. Kat Jerman jangan harap lah.

Maka kita bagi lagi satu skor untuk Malaysia. Kini sudah 7-0. Takde balasan nampaknya dari Jerman.

8. Waktu Bekerja

Ini bab paling best. Orang Jerman memang tak pandai berhenti atau break time kerja ni. Bukannya tak ada langsung tapi ada lah bebrapa orang yang bijak, yang lain tu agak sendu sikit lah. Masuk opis jer terus kerja dan kerja. Facebook pun diorang tak berani bukak tau. Kalau dahaga maka minumlah kopi bekal tu, takpun kalau nasib baik ada pantry kat opis boleh buat air free. Takde lah nak break minum kopi atau ngeteh jam 10 pagi atau jam 4 petang. Time lunch pukul 1 semua pegi lunch dan pukul 2 semua dah ada depan komputer masing-masing. Kalau yang kaki rokok maka berkejaran turun ke bawah hisap rokok sepantas kilat dan lari balik ke opis sambung kerja. Pukul 5 semua terus balik, takde nak dapat overtime dari boss.

Kita untung lah, masuk kerja punch in lepas tu pegi brekfast dulu. Lepas tu kul 9.30 ke 10 ke baru masuk opis. Duduk depan komputer bukak facebook dulu ye tak, nak update apa yang patut pastu baru start buat kerja. Pastu pegi lunch pukul 1, masuk balik ikut sedap lah, pukul 2.30 masih ok lagi. Nanti pukul 3.30 ke 4.00 ke boleh pegi minum petang pulak dan masuk balik sebelum pukul 5 dan duduk update facebook dulu. Dah pukul 5 atau 5.30 boleh balik dah. Kalau yang nak overtime sebab kerja tak siap sebab main facebook bolehlah sambung overtime. Kalau tak siap jugak kita buat overtime lusa pulak. Untunglah hari-hari dapat buat overtime, masyukkkk.

Jadi, nak kerja di Jerman? Tak payahlah, tak fleksible, takde overtime. Di Malaysia paling best. Kita skor lagi 8-0.

9. Temujanji Perkhidmatan

Untuk mendapatkan apa jua perkhidmatan di Malaysia, kita boleh terus saja pergi ke tempat yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Nak servis kereta, maka pergi lah ke bengkel-bengkel berdekatan dan tunggulah. Kalau nak best sikit nak pergi ke Pusat Servis berjenama maka kena buat temujanji atau appointment. Kat Malaysia kalau nak ke klinik maka terjah sahaja mana-mana klinik dan tunggulah. Kalau yang ada appointment kat klinik atau hospital jam 10 pagi, kita ada masa 2 jam untuk berehat sambil menunggu jam 12 tengahari sebelum nama kita dipanggil. Sambil tunggu kita boleh main facebook, twitter, instagram dan sebagainya. Masa 2 jam menunggu tu sangat berfaedah kan?

Kat Jerman ni merepek sungguh. Nak pergi klinik kena buat appoinment, diorang ingat sakit yang datang tu by appointment jugak kot. Kalau appointment pukul 10.00 pagi maka sampai saja dalam 10.05 pagi terus dapat jumpa doktor, tak sempat nak rilek-rilek atau main facebook dulu. Nak pergi servis kereta kat bengkel-bengkel biasa pun nak kena buat appointment, pun sama tak sempat nak main facebook jugak. Nak tunggu orang datang pasang internet pun appointment, tapi lojik lah yang ni. Yang paling tak lojik nak kena appoinment dan tunggu orang datang baca meter api dan air. Dah ler nak datang bagi bil, nak kena appointment jugak. Best tak? Sangat tak best kan? dah ler tak sempat main facebook.

Jadi Malaysia skor lagi di sini. Sudah 9-0.

10. Kediaman

Nak beli rumah agak mahal samada di Malaysia ataupun Jerman, jadi kita cerita pasal rumah sewa lah.

Kat Malaysia, nak sewa sangat mudah kan? Carilah iklan kat mana-mana, kat internet ada, kat tiang letrik ada, kat seven eleven ada. Dah jumpa, telefon tuan rumah, buat appointment pegi tengok rumah. Kalau ok bayar deposit 2+1 dan pindah masuk. Kadang-kadang takde agreement pun, main cakap mulut jer, kadang-kadang agreement satu mukasurat jer. Kalau taknak cari sendiri boleh suruh ejen carikan, lepastu tak payah bayar ejen, sebab tuan rumah yang akan bayarkan. Kalau nak untung sewa satu rumah, lepas tu sewakan pulak bilik-bilik lain kat orang lain dan naikkan harga sikit. Sewa rumah boleh bayar dan siap dapat untung lagi. Kalau geng Bangla atau Myanmar ke boleh ler kongsi-kongsi sewa satu apartment kecil dan duduk 10 orang. Bayar sorang RM100 jer sebulan. Natihjahnya, anda hidup harmoni dengan pelbagai bangsa dan budaya, ada bau kari, ada bau kucing panggang. Tompokan merah hasil ludahan air sirih pinang juga dapat menghiasi dinding koridor apartment kita. Seni tu.

Kalau rasa dah boring atau nak pindah maka bagitau tuan rumah dan pindahlah keluar. Tak nak bagitau pun tak apa, boleh lari jer keluar. Tuan rumah bukan boleh buat apa pun. Kalau sakit hati dengan tuan rumah, boleh longgokkan jer sampah sarap yang ada tu kat ruang tamu.

Orang Jerman ni seksa sikit lah nak sewa rumah. Ada law atau undang-undang penyewaan yang nak kena ikut. Nak jimat kena lah cari sendiri sebab kalau pakai ejen, penyewa yang nak kena bayar kat ejen. Mahal nak mampus pulak tu. Dah tu kalau berkenan kat rumah tu belum tentu boleh dapat lagi, kena ikut rules ditetapkan, kalau rumah tu ada 2 bilik dan muat untuk 3 orang sahaja maka hanya 3 orang dibenarkan duduk di dalam rumah tersebut. Kalau awak 4 orang, memang jangan haraplah. Jerman menetapkan yang setiap orang haruslah mempuyai ruang sekitar 500 kaki persegi untuk tinggal di dalam sesebuah rumah. Kalau dalam agreement kata 2 orang saja tinggal di situ maka kena 2 orang sajalah. Kalau dalam agreement kata pukul 12 tengahari sampai 3 petang tak boleh bising maka kena duduk diam-diam. Kalau bising jugak nanti polis ketuk pintu. Amboi polis Jerman ni tak ada kerja lain ke?

Kalaulah apartment kecil 650 kaki persegi, makanya seorang sahajalah boleh duduk di situ. Nak duduk 2 orang kena cari yang sekitar 900 kaki persegi. Sesetengah apartment kena interview dulu baru boleh masuk seperti yang saya kena. Macam-macam ditanyanya dan kalau tuan rumah puashati maka baru diberikan agreement 8-10 mukasurat untuk sign. Kalau dalam agreement kata tak boleh ada budak, maka tak bolehlah, kalau tak boleh ada binatang peliharaan maka tak bolehlah. Natijahnya, sunyi sepi dan aman damailah kediaman anda. Tiada jiran bangla atau myanmar, tiada bau kari maupun bau kucing panggang serta tompok seni hasil air ludahan sirih pinang.

Kalau nak keluar dari rumah, maka anda kena pastikan rumah tersebut kembali kepada keadaan asal pada hari pertama anda masuk. Kalau rumah tu kosong maka kena kosonglah, dia tak nak tengok ada perabut tinggal, ada lampu ada kipas dan sebagainya. Biasanya anda kena cat balik rumah tersebut seperti yang termaktub dalam agreement. Kalau gagal..maka saman, saman dan saman. Kuat betul orang Jerman ni saman orang.

Susahkan? Maka kita beri mata kemenangan besar kepada Malaysia 10-0.

————————————————————————————————————————–

Jadi cukuplah setakat 10 tu kan? Nanti apa pulak kata orang kan, juara dunia kena belasah 10-0.

Marilah kita sama-sama raikan kemenangan kita ini. Disamping itu saya juga menyeru kepada semua pembaca agar merenung juga di mana kelemahan pihak lawan kita sehingga boleh dibelasah sehingga begitu teruk sekali. Moga kita dapat jadikan iktibar kekalahan mereka tersebut agar kita terus dapat memperkuatkan dan menambah lagi kemenangan di masa yang akan datang.

Adakah anda betul-betul faham apa yang saya cuba sampaikan ini?

ENTAHLAH…I Dont Know. Kalau tak faham sindiran maka jangan bacalah!

0 comment... add one now