5 KES PEMBUNUHAN PALING KEJAM DI MALAYSIA


Pembunuhan Datuk Mazlan Idris

Kes pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris hampir 20 tahun lalu disifatkan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara dan memeranjatkan ramai pihak.



Penemuan mayat Mazlan yang dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen membawa kepada penahanan pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin.
Mazlan dibunuh pada 2 Julai 1993 di bilik air sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang dengan kapak selepas mengadakan pertemuan dengan pasangan bomoh itu.



Mona Fandey

Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 memutuskan ketiga-tiganya bersalah membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan rayuan mereka untuk mengurangkan hukuman juga ditolak.Pada 2 November 2001, mereka menjalani hukuman itu di Penjara Kajang dan jenazah Mona dan Mohd Affandi dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11.05 dan 11.30 pagi, manakala jenazah Juraimi dimandi dan dikebumikan di kampungnya iaitu di Teluk Gong, Klang, pada 11.15 pagi hari sama.

Kes Rogol dan Bunuh Noor Suzaily Mokhtar

Pada 7 Oktober 2000, Noor Suzaily Mokhtar, seorang jurutera komputer telah menaiki sebuah bas awam ke tempat kerjanya. Namun sesuatu yang tidak dijangkakan telah berlaku, di mana Suzaily telah dirogol, liwat dan dibunuh oleh pemandu bas tersebut.



Pemandu bas dikatakan telah menurunkan kesemua penumpang bas kecuali Suzaily, sebelum mengambil laluan jalan yang berbeza dan melakukan jenayah tersebut di sebuah tempat. Pemandu bas kemudian bergerak semula di atas jalan raya di mana Noor Suzaily dilihat mengetuk pintu bas dan meminta tolong oleh seorang saksi utama yang merupakan seorang remaja lelaki. Itulah kali terakhir dia dilihat masih hidup.

Pesalah, seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak, Hanafi Mat Hassan didapati bersalah dan dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 April 2002 kerana membunuh Noor Suzaily, 24, di antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan tapak pembinaan projek perumahan di Taman Bukit Tinggi, Klang di antara jam 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada 7 Oktober 2000.
Tertuduh yang pernah berkahwin empat kali, juga dipenjara 20 tahun dan 12 sebatan atas tuduhan merogol mangsa.
Hukuman penjara yang dikenakan itu adalah maksimum mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Hanafi telah menjalani hukuman gantung sampai mati pada tahun 2008.


Kes Rogol dan Bunuh Canny Ong

Canny Ong diculik di pusat beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003. Plot tragis pembunuhan itu bermula apabila Canny yang ditemani ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis makan malam di Restoran Monte di Pusat Beli-belah Bangsar (BSC), tempat di mana Ahmad Najib melihat beliau. Dia kemudiannya hilang dipercayai diculik bersama kereta Proton Tiara bernombor pendaftaran WFN 6871.



Mayat Canny kemudiannya dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu. Mayatnya tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang pembetungan itu empat hari selepas dia diculik dari tempat meletak kereta BSC.



Suspek yang juga seorang pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol Canny.

Kes Bunuh Datuk Sosilawati Lawiya

Berita kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, mula tersebar di laman sosial Twitter semasa pertengahan bulan Ramadhan 2010. Pada 12 Sep 2010, Polis Diraja Malaysia mengesahkan Datuk Sosilawati dan tiga orang yang mengiringinya ke Banting, Selangor untuk satu urusan pembelian tanah telah mati dibunuh. Menurut Utusan, keempat-empat mayat dan salah satu daripadanya mayat Datuk Sosilawati ditemui di pantai Morib. Kesemua mereka dibunuh kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.



Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut ialah di mana suspek membuang abu mayat selepas dibakar di ladang ternakan ayam (Ladang Gadong, Tanjung Sepat) tersebut dan pasukan penyelam Polis Marin manjalankan operasi mencari bahan-bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga lelaki lain. Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong Tanjung Sepat.
Jam tangan mewah milik Sosilawati yang diambil salah seorang penjenayah sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh menjadi petunjuk paling penting berhubung kes tersebut.



Kes ini masih dalam perbicaraan dengan empat orang suspek sudah mengaku bersalah manakala empat suspek lagi temasuk suspek perancang utama, bekas peguam N. Padmanabhan masih dibicarakan kerana tidak mengaku bersalah.

Kes Bunuh Nurin Jazlin

Nurin Jazlin Jazimin merupakan anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman daripada 3 orang adik beradik. Beliau merupakan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur. Beliau dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan orang ramai termasuklah Polis Diraja Malaysia dan Badan Bukan Kerajaan (BBK) untuk mengesan Nurin yang dipercayai diculik.



Misteri kehilangan akhirnya terjawab apabila mayat tanpa pakaian dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September 2007 dan setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin.
Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria dan ini antara faktor yang menyumbang kepada kematiannya.
Fizikal kanak-kanak itu yang ditemui mati dengan keadaan “kurus kering” selain dengan pelbagai kesan lebam pada badannya menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman pertama kali.
Jenazah Nurin Jazlin dituntut dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disembahyangkan di Madrasah Assa’Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tanah perkuburan itu. Akhirnya beliau disemadikan kira-kira pukul 2.45 petang selepas solat Jumaat pada 20 September 2007 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak. Ibubapa beliau beserta tiga adik-beradik Nurin Jazlin tidak dapat menahan tangisan mereka ketika jenazah itu diturunkan ke liang lahad.
Kes ini masih dibuka, tiada pendakwaan dilakukan kerana petunjuk yang sangat sedikit. Terdapat satu rakaman kamera litar tertutup di tempat mayat dijumpai yang menunjukkan seorang lelaki yang menaiki motor meletakkan beg berisi mayat Nurin, tetapi ia terlalu kabur. Namun perbuatan jenayah ini disyaki dilakukan oleh penjenayah yang beroperasi dari van putih, dan besar kemungkinan terdapat lebih dari seorang penjenayah yang terlibat.






Kes Rogol dan Bunuh Nurul Huda Abdul Ghani

Nurul Huda Abdul Ghani ialah seorang budak perempuan berusia 10 tahun yang ditemui dalam keadaan bogel dalam pondok kawalan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad di Tanjung Kupang, Johor pada tahun 2004. Basikalnya ditemui di luar pndok tersebut. Dia dipercayai telah dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki, termasuk seorang pengawal keselamatan.



Pengawal keselamatan berumur 46 tahun yang bertugas di pencawang itu, Mohd Abbas Danus Baksan ditahan selepas bergelut dengan polis kerana enggan membuka pintu pagar pencawang dan sebaliknya menyerang polis yang cuba memasuki kawasan itu.
Nurul Huda ialah anak bongsu Ketua UMNO Cawangan Kampung Pekajang, Ghani Juni yang bekerja sebagai pembantu am rendah di sekolah tempat anaknya belajar. Ghani mempunyai sembilan anak.
Kejadian dikatakan berlaku setelah Nurul Huda keluar untuk membeli barang di kedai runcit berhampiran, manakala pondok tersebut terletak hanya 100 meter dari rumahnya dan Nurul Huda perlu melalui kawasan pencawang tersebut untuk ke kedai runcit yang terletak 500 meter dari rumahnya.



Bagaimanapun, pada tahun 2008 Mohd Abbas telah terlepas dari hukuman mati kerana semua keterangan keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak menunjukkan yang kesalahan itu dilakukan sepenuhnya oleh Mohd Abbas setelah dia mengemukakan rayuan kerana didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Johor kerana membunuh Nurul Huda.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu pada 26 Jan 2004, selepas dia mengaku bersalah merogol budak perempuan itu.
Peguam yang mewakili Mohd Abbas, Jagdish Kaur, berhujah terdapat orang ketiga terlibat dalam kes itu dan Mohd Abbas dalam keteranganya berkata dirinya dan dua lelaki lain bernama Suyaimi Mohd Zin dan “Jojo” merogol budak perempuan itu.
Katanya pertuduhan asal di Mahkamah Majistret, menyatakan Mohd Abbas melakukan kesalahan itu bersama-sama dua lagi lelaki tetapi selepas kes itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, hanya nama Mohd Abbas disebut.
Katanya (Jagdish) hakikat yang Suyaimi atau mana-mana orang lain tidak didakwa bersama-sama dengan Mohd Abbas menunjukkan yang pendakwaan tidak mempunyai bukti terhadap mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berhujah berdasarkan keterangan, jelas menunjukkan Mohd Abbas telah membunuh Nurul Huda kerana hanya dia seorang yang bekerja di pondok pengawal itu dan keengganannya membenarkan polis dan abang Nurul Huda masuk ke pondok itu untuk menyiasat menunjukkan yang dia menyembunyikan sesuatu.
Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata terdapat banyak lompang dalam kes pendakwaan dan penyiasatan pihak pendakwaan juga tidak lengkap.
“Adalah menjadi tanggungjawab pendakwaan untuk membuktikan pembunuhan itu. Tugas pihak pembelaan ialah untuk menimbulkan keraguan,” katanya.
Mahkamah, bagaimanapun, mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Baharu bagi kesalahan merogol budak prempuan itu, yang Mohd Abbas mengaku bersalah. Namun dia terlepas hukuman sebatan kerana pada masa itu berumur 52 tahun.


Kes Bunuh Nurul Nadirah @ Dirang





Nurul Nadirah @ Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas oleh ibunya, Roselyn Alan, 25. Roselyn memberikan RM 4 kepada Dirang untuk membeli telur ayam dan dua bungkus mi segera di kedai runcit yang terletak di tingkat bawah blok di sebelah rumahnya. Rumah mereka terletak di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

Berikutan kehilangan Dirang, gerakan mencari beliau dilaksanakan selama beberapa hari oleh pihak berkuasa dan penduduk tempatan. Kehilangan Dirang juga mendapat liputan meluas pihak media.
Pada 8 Mac 2012, mayat kanak-kanak yang rentung telah dijumpai di sebuah kawasan tanaman kelapa sawit di Nusa Damai, Masai, 20 KM dari Flat Seri Delima. Pada 12 Mac 2012, mayat rentung itu disahkan oleh pihak polis sebagai Dirang melalui ujian DNA.




Bapa kandung Dirang, Handri Yongot, 35 pada mulanya disyaki sebagai suspek, tetapi kemudiannya dibebaskan dari tuduhan dan dihantar ke Filipina, dari mana dia datang sebelum memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
Seramai tiga orang suspek termasuk seorang wanita direman untuk siasatan kes pembunuhan Dirang.
Bagaimanapun, pada 27 Mac 2012, Muidin Maidin, 24, jiran Roselyn, telah didakwa melakukan perbuatan kejam itu terhadap Dirang di ladang kelapa sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai antara pukul 11 pagi dan 7 malam, 1 Mac lepas.
Lelaki bermisai nipis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati di tali gantung jika disabitkan kesalahan.

0 comment... add one now