Doktor panggil keluarga Haron ke hospital





SHAH ALAM - Pas masih menunggu berita rasmi mengenai keadaan semasa Mursyidul Amnya, Datuk Dr Haron Din yang dilaporkan dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford San Francisco, California.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, berita terakhir yang diterima adalah pengesahan pihak hospital untuk menghentikan alat bantuan pernafasan Haron.

Kata Nasrudin lagi, berita itu diterima oleh keluarga Haron dan disampaikan kepada pihaknya sekitar jam 7.20 pagi tadi.

"Pada jam 7.20 pagi tadi , keluarga sedang tunggu doktor untuk hentikan peralatan bantuan pernafasan.

"Jadi, kita tunggu berita rasmi dari keluarga Haron. Kami pun masih menanti berita rasmi dari mereka," jelas Nasrudin menerusi aplikasi sosial, WhatsApp.

Menurut status laman sosial Facebook pendakwah terkenal Ahmad Dusuki Abdul Rani, pihak hospital berkenaan pada jam 5 pagi ini (waktu California) meminta keluarga segera hadir ke ICU terbabit.

"Haron mempunyai komplikasi jantung dan dimasukkan ke ICU.

"Dua anak Tuan Guru bersama doktor sekarang, keluarga yang lain menunggu di luar dan masih belum dapat berita penuh dari dalam. Mohon doa kalian," katanya hari ini.

Mac lalu, Haron menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Sebelum ini, beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 2 April 2012.

0 comment... add one now