Kelebihan yang Allah bagi pada Dr Harun Din kerana Mati di Hari Jumaat





KELEBIHAN MATI MALAM ATAU HARI JUMAAT BAGI MUSLIM

1. Kelebihan mati pada hari atau malam Jumaat menjadi khilaf di kalangan ulamak kerana khilaf mereka dalam menilai hadis-hadis yang menjelaskannya.

2. Antaranya Nabi saw bersabda:

مَن ماتَ يومَ الجُمعةِ أو ليلةَ الجمعةِ وُقِيَ فِتنةَ القبرِ

Maksudnya: "Sesiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat terpelihara daripada fitnah kubur".

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan isnad yang dinilai sahih oleh Syeikh Ahmad Syakir.

Hadis seumpamanya juga diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan beliau menyifatkannya sebagai Gharib dan terputus Isnad.

Syeikh Ibnu Hajar pula menyifatkannya sebagai lemah Isnad.

Namun Suyuti menilainya sebagai Hasan manakala al-Albaani menjelaskan bahawa gabungan kesemua jalan periwayatan hadis ini meningkatkannya ke tahap Hadis Hasan atau Sahih.

3. Dikeluarkan daripada jalan Ibnu Juraij daripada 'Ata' bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ أَوْ مُسْلِمَةٍ يَمُوتُ فِي يَوْمِ الْجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةِ الْجُمْعَةِ إِلَّا وُقِيَ عَذَابَ الْقَبْرِ، وَفِتْنَةَ الْقَبْرِ وَلَقِيَ اللَّهَ وَلَا حِسَابَ عَلَيْهِ، وَجَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَعَهُ شُهُودٌ يَشْهَدُونَ لَهُ أَوْ طَابَعٌ"
Maksudnya: "Mana-mana orang Islam lelaki dan perempuan yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat pasti dipelihara daripada azab kubur dan fitnah kubur dan dia bertemu Allah dalam keadaan tiada hisab dan dia datang pada hari Kiamat dalam keadaan bersamanya saksi-saksi atau pemberi pengesahan yang memberikan kesaksian."

Kata Suyuti; Hadis ini mengandungi dalil yang sangat jelas terlepasnya fitnah kubur kepada orang yang mati hari Jumaat.

4. Tersebut dalam Tuhfatul Ahwazi; menurut Imam al-Qurtubi, hadis-hadis yang menunjukkan bahawa soalan kubur tidak dikenakan kepada orang yang mati pada hari Jumaat tidak bertentangan dengan hadis-hadis yang menjelaskan kewujudan soalan kubur malah hadis-hadis itu mengkhususkan dan menjelaskan siapa yang disoal dan siapa yang tidak disoal.

5. Berkata al-Hakim al-Tirmizi; sesiapa yang mati pada hari Jumaat maka terdedahlah apa yang terselindung tentang nasib dirinya di sisi Allah. Hal ini kerana hari Jumaat tidak dihidupkan api neraka dan ditutup pula pintu-pintunya. Kekuasaan api neraka tidak berfungsi pada hari tersebut sebagaimana ia berfungsi pada hari-hari yang lain. Apabila Allah mengambil nyawa seorang hambanya lalu ia bertepatan dengan hari Jumaat ia adalah bukti kebahagiaan dan keelokkan tempat kembalinya kerana tidak diambil nyawa pad ahari itu melainkan orang yang ditulis untuknya kebahagiaan di sisinya. Kerana itulah ia trpelihara daripada fitnah kubur. Ini kerana fitnah kubur adalah untuk membezakan antara munafiq dan mukmin.

6. Menurut Suyuti pula sesiapa yang mati pada hari Jumaat dia mendapat pahala Syahid. Oleh itu ia selari dengan kaedah orang mati Syahid yang tidak disoal di alam kubur.

7. Justeru, diambil faedah daripada hadis itu bahawa mati hari Jumaat di antara tanda Husnul Khatimah (penutup kehidupan yang baik).

Bagaimana Pula Dengan Azab Akhirat?

1. Adapun terlepas daripada azab Akhirat bagi mereka yang terlepas azab kubur maka ilmunya di sisi Allah.

2. Namun diriwayatkan oleh Uthman bin Affan (r.a) bahawa Rasulullah saw bersabda:
إن القبر أول منازل الآخرة، فإن نجا منه فما بعده أيسر منه، وإن لم ينج منه فما بعده أشد منه.
Maksudnya: "Sesungguhnya kubur adalah tingkatan pertama Akhirat. Maka sekiranya dia terlepas daripadanya maka apa yang selepasnya lebih mudah. Sekiranya dia tidak terlepas daripadanya maka yang selepasnya lebih dahsyat."
Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah serta dinilai Sahih oleh al-Albani.

3. Tersebut dalam Mir'aah al-Mafaatih; "apa yang selepasnya lebih mudah" bermaksud lebih mudah dan lebih ringan kerana dilapangkan kepada orang yang terlepas daripada azab kubur di dalam kuburnya seluas mata memandang, diterangkan untuknya kubur, dihamparkan untuknya hamparan syurga, dipakaikan dengan barang hiasan syurga, dibuka untuknya satu pintu syurga lalu datang kepadanya tiupan bau harumannya. Semua ini adalah permulaan untuk memudahkan tingkatan-tingkatan Akhirat yang lain. Sekiranya dia tidak terlepas daripada azab kubur dan tidak dikaffarahkan dosa-dosanya dan masih berbaki sesuatu yang perlu diazab maka apa yang selepasnya lebih berat kerana neraka adalah seberat-berat azab. Maka apa yang berlaku kepada orang mati di dalam kubur adalah tanda apakah masa depannya."

Moga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat Husnul Khatimah. Dan mudah-mudahan mereka yang ditakdirkan mati di hari Jumaat diberi Husnul Khatimah.

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

0 comment... add one now