AMARAN...Jangan Percaya Terhadap E-mel Palsu Guna Nama Bank Negara !!!


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) memberi peringatan kepada orang ramai mengenai e-mel palsu menggunakan nama Bank Negara Malaysia yang kononnya mengkehendaki penerima e-mel untuk klik dan memuat turun lampiran.





Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata, orang ramai diminta tidak mengendahkan e-mel berkenaan dan tidak memuat turun lampiran terbabit.

BNM sudah mengenal pasti modus operandi e-mel palsu oleh individu tertentu untuk memperdaya mangsa.

Menurut BNM, mangsa penerima akan menerima e-mel bertajuk 'Security Verification', yang kononnya daripada BNM untuk memberitahu mereka bahawa terdapat bayaran yang akan dimasukkan ke dalam akaun mereka.


"Mangsa dikehendaki melengkapkan pengesahan keselamatan dengan memuat turun lampiran.

"Sebaik sahaja mangsa klik atau memuat turun pada pautan yang disediakan, pautan tersebut akan membawa mereka ke laman sesawang palsu yang memerlukan mereka mendedahkan maklumat peribadi kewangan seperti butiran kad kredit atau kad debit atau nombor pengenalan peribadi (PIN)," katanya.

Institusi kewangan termasuk pengeluar kad kredit dan BNM serta semua institusi perbankan tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi apabila menghubungi pelanggan menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel," kata Bank Negara.

BNM berkata, orang ramai perlu menghubungi bank masing-masing atau menghubungi Persatuan Bank-bank dalam Malaysia yang dikenali sebagai ABMConnect, di talian 1-300-88-9980 sekiranya meragui mengenai e-mel, panggilan telefon dan SMS yang diterima. - Bernama

0 comment... add one now