BAHAYA !!! Jangan guna telefon bimbit ketika dicas: Suruhanjaya Tenaga



Suruhanjaya Tenaga (ST) sekali lagi menasihati pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas kerana ia mengundang bahaya termasuk berlakunya renjatan elektrik.

Pengarah Kawal Selia Keselamatan Elektrik suruhanjaya, Mohd Elmi Anas berkata, semasa telefon dicas, kebocoran arus elektrik akan berlaku sekiranya adanya kerosakan pada alat pengecas.

“Menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, lebih-lebih lagi dengan alat pengecas tidak tulen, boleh membahayakan pengguna ekoran renjatan yang terhasil daripada kebocoran elektrik pengecas tersebut.

“Selain itu, pengguna perlu memastikan mereka membeli alat pengecas tulen yang mempunyai label SIRIM-ST atau yang dibekalkan bersama telefon bimbit,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Bengkel Garis Panduan dan Teknik Mengenal Pasti Kabel dan Kelengkapan Elektrik Substandard di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang suri rumah maut di kediamannnya di Cheras, Kuala Lumpur ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dengan alat pengecas tidak tulen akibat renjatan daripada kebocoran elektrik pengecas itu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Elmi berkata, mengikut statistik ST sebanyak 853 kes kemalangan elektrik disiasat dari 2002 sehingga 30 Sept lepas dengan 425 kes daripadanya melibatkan kes maut.

Beliau berkata punca utama berlakunya kemalangan elektrik adalah disebabkan pemasangan atau senggaraan yang tidak sempurna termasuk tidak melaksanakan senggaraan berjadual ke atas pepasangan elektrik. – Bernama

0 comment... add one now