Kalau Dah Terlanjur, Wajib Ke Tanggung Nafkah? Ini Jawapannya...


Oleh:Nadia Mingguan Wanita



"Suami minta mahu kahwin lagi kerana sudah terlanjur dengan perempuan tu. Masalahnya suami tak mampu, dia tiada kerja tetap, duit selalu tiada, saya yang tanggung kami sekeluarga dengan anak lima orang. Suami kata dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur. Betul ke begitu puan? Kalau saya mohon cerai, boleh tak puan?"



Soalan di atas merujuk kepada penyataan si suami di dalam kes ini menyatakan "dia wajib berkahwin sebab sudah terlanjur", ia sebenarnya adalah satu penyataan yang salah. Tiada nas syarak sama ada ayat al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau fatwa ulama malah tidak juga peruntukan undang-undang yang menyatakan secara sahih bahawa pasangan yang berzina sebelum nikah perlu berkahwin.



Ya, tidak wajib berkahwin jika telah terlanjur. Bermaksud pasangan yang telah terlanjur boleh untuk tidak berkahwin dan boleh juga untuk berkahwin.



Tidak salah sekiranya si lelaki enggan berkahwin dengan si gadis atau si wanita yang ditidurinya biarpun hubungan seksual antara mereka berlaku secara rela atau suka sama suka.



Si gadis atau si wanita tidak mempunyai sebarang hak yang boleh dituntut sama ada menggunakan hukum syarak dan undang-undang. Yang ada hanyalah hukuman iaitu rejam sampai mati atau disebat 100 rotan.



Hukuman tersebut menurut prinsip syariat berlandaskan al-Quran dan al-Hadis tetapi menurut prinsip peruntukan undang-undang yang ada iaitu Akta Jenayah Syariah, hukuman yang dikenakan kepada pesalah laku hubungan seks haram iaitu hubungan kelamin tanpa akad nikah yang sah menurut syariat ialah dikenakan denda maksima RM5000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.



Amalan tutup malu



Realitinya, tindakan berkahwin selepas berzina adalah amalan masyarakat bagi menutup malu keluarga. Malah jika berlaku tangkapan oleh pihak Penguatkuasa Agama, biasanya pesalah akan dinasihatkan oleh peguam pembela atau bertindak sendiri dengan mengambil keputusan untuk berkahwin sebagai satu alasan sesungguhnya mereka yang disabitkan bersalah ini telah benar-benar insaf bagi mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan. Syukurlah jika benar-benar insaf dan bertaubat namun ada juga kes, perkahwinan sekadar mengaburi mata Yang Arif Tuan Hakim.



Ketetapan undang-undang berdasarkan fatwa ulama yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ini menyebut; anak yang lahir selepas usia perkahwinan enam bulan qamariah hanya boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki yang membuntingkan si ibu jika kecelaruan yang berlaku yakni hamil dulu sebelum nikah tidak diketahui umum.



Kalau si anak lahir selepas usia perkahwinan enam bulan, secara automatik si anak akan dibin atau dibintikan dengan si ayah yang wujud dalam daftar perkahwinan yang dibekalkan ketika proses mendaftarkan nama bayi.



Sebaliknya jika anak tersebut lahir sebelum genap usia perkahwinan ibu bapanya enam bulan, maklumat si bapa akan diletakkan sebagai 'tidak berkenaan".



Tetapi, walau nama si ayah diterima dalam daftar surat lahir tetapi sememangnya anda sebagai ibu dan bapa memaklumi si anak tadi adalah anak yang terhasil daripada hubungan sebelum nikah, si anak tetap tidak boleh dibin atau dibntikan kepada si ayah tersebut dalam urusan nikah anak itu pula satu masa nanti.



Si anak hanya boleh dibin atau dibintikan kepada Abdulllah. Si lelaki yang membuntingkan juga tidak wajib menanggung nafkah si anak malah andai tidak berlaku perkahwinan antara si lelaki dengan si ibu, si anak jika perempuan, halal berkahwin dengan si lelaki yang menyebabkan dia lahir ke dunia kerana Islam tidak mengiktirafkan si lelaki sebagai ayahnya.



Firman Allah SWT dalam al-Isra' ayat 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang hina." Ayat ini bukan sahaja melarang melakukan zina tetapi melarang agar tidak mendekati perkara-perkara yang boleh menjebakkan kita kepada zina. Sebabnya kesan daripada zina ini amat besar dan apabila anda telah termasuk perangkapnya, natijah yang berlaku dan anda perlu terima adalah pilihan anda sendiri, bukan kesilapan hukum lagi.



Merujuk persoalan “Kalau saya mohon cerai, boleh tak puan?”. Penceraian dibenarkan oleh syariat jika hikmah perkahwinan yang ditentukan oleh hukum syarak tidak lagi dinikmati. Dalam kes wanita ini, si suami melakukan masalah hingga mencetuskan ketidakharmonian di dalam perkahwinan namun masih belum mencapai alasan yang munasabah menurut syariat yang membenarkan penceraian berlaku.



Betul, suami telah berzina tetapi bersalah adalah fitrah manusia. Andai suami insaf dan bertaubat, dia boleh jadi lebih mulia. Bagi mereka yang berdepan masalah serupa, ikhtiarkan untuk memberikan kesedaran kepada suami terlebih dahulu. Huraian mengenai tidak wajib berkahwin ini mungkin membantu.



Andai suami berkahwin juga dan kemudiannya telah gagal berlaku adil dalam poligami, maka anda ada pilihan untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh.



Wanita, jangan sesekali bertindak menyerah diri anda sebelum akad nikah. Natijah besar menanti anda untuk perkara yang anda rasakan sebagai nikmat yang hanya seketika.

0 comment... add one now