Nak Mentua Sayang Lebih, Menantu Dulu Kena Buat Macam Ini

Oleh:Nadia Mingguan Wanita



Kalau dah bersatu, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi sebenarnya membuatkan kita terikat dengan hubungan antara menantu dengan mentua. Hubungan ini membuatkan kita ada keluarga yang lebih besar.


Masa ini kita kena belajarlah macam mana nak jaga hati mentua dan ipar duai untuk cipta rasa senang apabila berkumpul. Kalau hubungan dengan mentua agak regang, tak mustahil sedikit sebanyak membuatkan hubungan dengan pasangan terganggu.


Jom kita tengok panduan untuk jaga hubungan baik dengan mentua tersayang...


1. Kena rajin

Kalau duduk di rumah mentua, apa kata anda tunjukkan sedikit kerajinan untuk mengambil hatinya. Ringankan mulut untuk bertanya, apa yang mentua perlukan. Jangan sesekali membiarkan ibu mentua buat semua kerja tanpa anda membantunya.

Kena lebih peka dengan kerja-kerja rumah. Contoh paling mudah, memasak hidangan tengah hari kalau anda dan pasangan balik ke rumahnya. Jangan biar ibu mentua memasak sendirian. Jangan anggap diri tetamu di rumah mentua kerana anda menantunya.


2. Bangun tidur awal

Kalau tak mahu dicop sebagai menantu pemalas, elakkan bangun lewat. Mengantuk macam mana pun, cuba bangun awal. Lebih teruk jika mentua sudah selesai membuat kerja rumah, anda baru mengenyeh mata hendak ke bilik air untuk mandi. Aduh, ini yang buat mentua bengkak dalam hati. Tak semua mentua boleh buat diam ya. Ada yang terus tegur tu, anda kena terimalah.


3. Selalu ziarah mentua

Sesekali pergilah ziarah mentua dan bawakan buah tangan untuknya. Kunjungan anda sudah tentu akan menjadi momen indah untuk mentua apatah lagi jika anda pulang bersama cucunya. Jauh macam mana pun, itu bukan alasan.


4. Tak payah berkira

Apa salahnya kongsi rezeki dengan mentua kerana pemberian anda itu pasti akan dikenang seumur hidup. Jangan sampai mentua berkata, “Sejak dia jadi menantu aku, tak pernah aku merasa walau seringgit duitnya.”


5. Tunjukkan cinta pada anaknya

Kita bukan boleh baca hati orang, kadang layanan kita pada pasangan pun mentua ambil kira. Yelah, penat dia membesarkan anaknya tetiba anda buat kasar pula. Tidak ke kecil hati mentua? Kalau pandai pikat hati suami, secara tak langsung anda mampu kuasai hati mentua, tau! Silap-silap hari, anda jadi menntu kesayangan.


6. Beranak ramai

Tak semua tapi kebanyakan mentua suka cucu ramai. Tambah pula kalau anak dia pun tak ramai. Cucu juga buat mentua menanti kepulangan anda ke kampung.


7. Apa salahnya mengalah

Sesekali mesti ada sedikit perselisihan pendapat, jadi lebih baik mengalah. Hormati mentua sebagai orang tua yang perlu dihargai. Ini boleh mengelakkan perselisihan kecil menjadi lebih besar.


8. Fikir positif

Ada mentua yang memang sukar didekati sebab personalitinya yang pendiam. Sebagai menantu, anda kena tetap positif dan jangan salah anggap terhadap mentua sendiri. Cuba dekati dia perlahan-lahan dan kena bijak curi hatinya. Misalnya memberi hadiah atau buah tangan kepadanya pada hari-hari istimewanya.

0 comment... add one now