Suami Tak Mahu 'Bersama' Sebab Disihir Ibu Mentua

Oleh:Nadia Mingguan Wanita



Membina perkahwinan jadi impian setiap insan. Pernah dua kali putus cinta dan saat bertemu pasangan, saya dapat rasakan dialah lelaki yang sesuai dibuat suami. Perasaan itu saya rasai sendiri di dalam hati namun sebagai wanita, saya tidak terlalu memperlihatkan keterujaan untuk memilikinya. Syukur alhamdulillah, perasaan saya itu tidak bertepuk sebelah tangan kerana suami juga serius dalam perhubungan cinta kami.

Bermulalah detik indah dalam perkahwinan saya dan suami. Dia penyayang dan paling utama, begitu mementingkan solat malah amat menjaga tingkah lakunya. Saya bersyukur kerana hubungan kami dipermudahkan. Sangkaan saya, bahagia ini milik saya tetapi saya terlupa musibah yang bakal mendatang. Tiga bulan pertama perkahwinan, saya terlampau bahagia kerana suami melayani saya dengan baik.

Tanpa saya duga, dalam diam mentua tidak menyukai saya. Tak sedar, dia sebenarnya sudah ada pilihan lain tapi anaknya tetap mahukan saya juga Tapi saya tidak sedari semua ini sehinggalah saya terjumpa satu bungkusan berbalut kain kuning selepas mak mentua dan adik ipar datang menziarahi kami di rumah selepas tiga bulan kami berkahwin.

Bayangkan, saya melayan mereka dengan baik. Saya sanggup ambil cuti demi menemani mak mentua berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Saya juga sanggup belikan barangan buat mereka di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sangka saya, semua itu boleh mengeratkan hubungan kami tambahan pula suami anak pertama yang berkahwin.

Di hadapan saya, mereka nampak gembira tapi selepas mereka balik, suasana rumah tangga saya mulai panas. Tanpa sengaja, suami mula meninggikan suara. Puncanya kerana saya lambat hidangkan makanan sedangkan hari itu saya alami senggugut yang teramat sangat. Biasa kalau alami senggugut, suami begitu memahami malah siap tuamkan di ari-ari saya kerana kasihan saya terbongkok-bongkok. Biasa kalau diserang sakit, saya akan ambil MC. Kesakitan itu membuatkan saya hanya mampu berbaring. Bila suami balik daripada kerja, dia bising-bising kerana saya tidak menghidangkan makanannya. Suami mula berubah kelakuan. Dalam diam saya mulai makan hati. Di hadapan suami saya berpura-pura tersenyum tetapi di belakangnya saya menangis dalam diam. Saya tak mahu tunjuk yang saya sangat lemah biarpun saya akui perubahan sikap suami semakin ketara.

Saya jadi buntu kenapa suami suka marah-marah. Pantang silap sikit, mulutnya lancang bersuara. Hilang sudah sifat kasihnya hinggakan saya pelik kenapa suami berubah sikap. Ada juga saya bualkan dengan kawan-kawan. Kata mereka saya dan suami baru berumah tangga. Kata orang baru hendak mencari titik mula membina rumah tangga.

Jadi ada pelbagai kisah baik dan buruk yang harus saya belajar. Saya faham dan akur tetapi masa yang sama, saya masih pelik kerana sikap suami bukan begitu namun segalanya bertukar seratus peratus selepas ibu dan adiknya datang ke rumah kami dan bermalam tiga hari. Nampak benar perubahan ketaranya.

Ketika saya mengadu hal ini kepada keluarga, mereka minta saya bersabar tetapi masa yang sama, keluarga ada bertemu pengamal perubatan. Sesuatu yang mengejutkan kerana kata, berhati-hati dengan keluarga mentua kerana nampak gayanya dia cuba memisahkan rumah tangga yang baru saya bina itu.

Memang saya pelik, kenapa jadi begitu? Apa dosa dan salah saya?. Lebih memeranjatkan selepas keluarga bertemu pengamal perubatan itu, ketika saya mengemas katil kahwin kami, saya terjumpa satu bungkusan berbalut kain kuning. Seorang kawan membawa saya bertemu seseorang yang pandai dan katanya, ini ubat pembenci dan di dalamnya benda-benda kotor.

Saya segera beristighfar. Kenapa mentua buat saya begini? Saya terfikir, apa dosa saya. Patutlah selepas mereka balik itu, suami langsung tidak menyentuh saya. Bila diajak bersama, dia marah-marah. Memang niat mentua hendak memisahkan saya. Tidak tahan kena buli dengan cara halus, saya tunjukkan kepada suami apa yang telah maknya lakukan. Saya juga bawa suami berubah dan alhamdulillah, nampak perubahannya. Tapi konflik keluarga mereka makin hebat bila suami bertanya kepada emaknya tentang hal sihir ini. Maknya menuduh saya yang jahat dan saya bukan perempuan sesuai dijadikan isteri kerana dia sudah ada calon yang lebih layak untuk anaknya.

Suami terdiam. Memang dia tak sangka maknya jadi begitu. Dia terkedu dengan kejadian didengarinya dan katanya selepas ini, jangan carinya lagi. Mak mentua menyumpah-nyumpah saya. Katanya saya tak akan bahagia. Sekarang, saya dalam dilema.

Benar syurga saya di bawah tapak kaki suami tetapi bagaimana dengan suami kerana syurganya di bawah tapak kaki ibunya? Apa harus saya buat? Apa cara terbaik untuk membina ikatan ini. Biarpun hati saya sakit tetapi saya tak ingin suami turut berdosa kerana dia membela saya. Benarkah tindakannya ini? Bantulah saya. Segalanya saya serahkan kepada Allah tentang jodoh ini. Betulkah tindakan saya?

Ada yang mengalami masalah yang sama dalam situasi ini? Jangan risau, anda oleh ketahui apa yang patut anda lakukan yang mana dikupas oleh HAJAH MAIMUNAH HAJI MOHAMAD (Ketua Penolong Pendaftar UUM Sintok, Kedah) dalam ruangan Ya Tuhan majalah Mingguan Wanita bilangan 1715 yang sudah ada di pasaran.

0 comment... add one now