Kapal British BERGOYANG bila SERBAN Tok Ku Palong, Ulama Besar Terengganu Disengetkan

loading...

Kapal British BERGOYANG bila SERBAN Tok Ku Paloh, Ulama Besar Terengganu Disengetkan





by tv14.my

Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang

ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.

Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.

Baginda menyebut, “Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,” yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.

Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.

“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,” demikianlah jawapan ulama besar itu.

Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.

Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?” sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.

Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.

Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik.

Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.

Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.

Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau

hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.

Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh.

Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.

Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh.

Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.
Loading...
loading...

0 Response to "Kapal British BERGOYANG bila SERBAN Tok Ku Palong, Ulama Besar Terengganu Disengetkan"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close