NAMA TEMPAT YANG DIKAITKAN DENGAN RAJA BERSIONG: BERDASARKAN FAKTA ATAU MITOS?

loading...


NAMA TEMPAT YANG DIKAITKAN DENGAN RAJA BERSIONG: BERDASARKAN FAKTA ATAU MITOS?





KISAH Lagenda Raja Bersiong yang mempunyai nafsu makan luar biasa apabila gemar menikmati darah rakyatnya sebagai bahan hidangan dikaitkan dengan wujudnya nama-nama daerah/tempat di negeri Kedah.

Raja Bersiong atau namanya Ong Maha Perita Deria digambarkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa sebagai pemimpin yang kejam.

Kewujudan nama daerah Baling dikaitkan dengan kisah pelarian Raja Bersiong yang melarikan diri dari istana kerana dikepung menteri, permaisurinya dan rakyat.

Nama-nama tempat yang dipercayai berasal dari sejarah Raja Bersiong bermula dengan Kuala Ketil terlebih dahulu.

Kuala Ketil berasal daripada 'kutil' atau 'cabut' kerana baginda cuba mencabut siungnya yang sakit ketika melarikan diri.

Kemudian dikatakan baginda melarikan diri ke kawasan lain dan sambil berlari, tangannya masih memegang siungnya, lalu tempat itu dinamakan Kuala Pegang.

Nama Pulai iaitu salah satu kawasan dalam daerah ini juga dikatakan berasal dari perkataan 'pulas'.

Apabila tiba di tempat itu, baginda cuba menanggalkan giginya yang sakit itu dengan memulas siungnya sehingga tercabut.

Kemudian Raja Bersiong dikatakan membaling siungnya itu sehingga lahirnya nama Baling.

Nama tiga lagi tempat iaitu Weng, Bukit Sebelah dan Siung turut berkait rapat dengan kisah raja tersebut.

Nama Weng dikatakan diambil dari bunyi deras yang terbit dari bahana siung yang dibalingnya.

Begitu juga dengan nama Bukit Sebelah, sebuah bukit di sempadan antara daerah Sik dan Baling kononnya runtuh sebelah apabila siung itu melantun dan mengenainya sebelum siung itu jatuh di tempat yang sekarang ini sebagai Siung.

KEPERCAYAAN GENERASI LAMA
Pengaruh kisah Raja Bersiung itu sebenarnya diambil dari Hikayat Merong Mahawangsa dan masyarakat tempatan lama mengaitkan hikayat itu dengan nama-nama tempat di Baling.

Nama-nama yang dikatakan diambil dari kisah Raja Bersiung itu tiada kena mengena dengan catatan sejarah, namun begitu dipercayai oleh generasi lama.

Terdapat beberapa faktor utama mengapa masih ramai yang percaya kisah Raja Bersiong itu benar-benar wujud kerana cerita itu terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Kitab lama berbahasa Jawi itu banyak dimiliki oleh generasi lama dan disampaikan dalam bentuk lisan.

Faktor kedua pula apa yang menyebabkan rakyat semakin percaya kerana kisah itu pernah diterbitkan dalam bentuk filem atas usaha Perdana Menteri Pertama ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman.

Niat Tunku Abdul Rahman bukanlah kerana mahu rakyat percaya terhadap kisah itu, tetapi sebaliknya hanya kerana hiburan rakyat semata-mata.

Kesan kepercayaan masyarakat kepada kisah itu, orang-orang lama juga mempercayai setiap batu bangunan lama yang terbiar dan batu nisan di kubur yang tidak dikenal pasti milik Raja Bersiong.

Misalnya istana lama di Bukit Tinggi, dikatakan istana itu milik Raja Bersiung namun hakikatnya ia dibina oleh Tengku Dhiauddin (Tunku Kudin) iaitu Raja Muda Kedah pada tahun 1854.

Batu nisan di Kampung Seberang Tok Soh Pinang Tunggal di daerah Kuala Muda juga dipercayai masyarakat milik raja berkenaan sedangkan berdasarkan kajian ia sebenarnya adalah milik kepunyaan seorang ulama.

Nama Pulai dan Baling yang kononnya berasal daripada pulas dan dikaitkan dengan kisah raja tersebut juga tidak benar sama sekali.

Nama Pulai sebenarnya berasal daripada nama sejenis pokok, dan nama Baling itu sendiri berasal dari perkataan Siam.

'Ban' dalam bahasa Siam bererti Kampung dan 'Ling' bererti kera, nama-nama dalam bahasa Siam ini wujud kerana pengaruh Siam di Kedah suatu ketika dahulu.

Nama tempat Siung dalam daerah itu juga adalah secara kebetulan.

Wallahua'lam...

Sumber : sinarharian





Loading...
loading...

0 Response to " NAMA TEMPAT YANG DIKAITKAN DENGAN RAJA BERSIONG: BERDASARKAN FAKTA ATAU MITOS?"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close