SAYU: Beliau Berkahwin Dengan Pesakit Kanser Untuk Membahagiakannya...

loading...


SAYU: Beliau Berkahwin Dengan Pesakit Kanser Untuk Membahagiakannya...






100 hari selepas kematian isterinya, seorang guru Bahasa Inggeris yang mengahwini penghidap sakit kanser tahap empat berkata, “Saya kahwini beliau kerana ingin bahagiakannya dan berbuat baik kepadanya.

Saya jatuh cinta kerana keberaniannya. Walaupun sakit, beliau masih meneruskan pembelajaran dalam bidang perubatan di London seorang diri, jauh dari keluarga”.

“Selepas berkahwin, saya menyorong kerusi rodanya ke hospital dan melakukan semua urusan rumah kerana saya percaya dia akan melakukan perkara yang sama, jika saya sakit.

Saya memilih cinta kepada isteri dan ibu bapa dengan sepenuh hati. Saya tidak akan rugi apa-apa dengan memberi cinta itu”.

Demikian bait-bait kata Kamal Effendi dalam forum “Tunnel of Love – Bukan Cinta Biasa” di Auditorium Utama, Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Cyberjaya, pada malam tadi yang menyaksikan dua panelis ikon popular media sosial dan blogger Kamal Effendi dan Mat Lutfi berterus terang tentang persoalan cinta dan perkahwinan.

Forum tersebut adalah majlis pertama Kamal Effendi muncul di pentas umum, selepas kematian isterinya pada 27 Disember 2016 lalu, yang juga jatuh pada hari ulangtahun pertama perkahwinan mereka.

“Saya beri 100% untuk isteri. Saya hormat wanita, isteri dan ibu. Saya berpandangan isteri dan wanita memiliki cinta yang sejati. Jadi cintailah adik anda, kakak, isteri dan ibu bapa”.

“Saya tidak tahu apa perasaan orang bercinta kerana isteri saya adalah wanita pertama saya cintai. Tetapi Alhamdulillah, saya bahagia”, cerita Kamal dalam dewan yang senyap kerana pelajar menekuni setiap kalimah beliau tuturkan.

Kisah keunggulan cinta Effendi atau nama penuh Ahmad Kamal Effendi Kamarudin, 27, dan isterinya Dr Nik Idzni Dalila binti Nik Mahmud, 26, menjadi sebutan dan inspirasi ramai peminat blog sejak akhir tahun 2015 apabila Kamal mengambil keputusan mengahwini Dr Nik Idzlin, walaupun doktor yang merawat wanita tersebut menjangkakan beliau akan meninggal pada bila-bila masa.

Ditanya moderator forum mengenai persoalan keikhlasan dalam cinta, Kamal menjawab, “Ini adalah pengalaman dan cerita saya. Bukan dari buku. Kami berkenalan di instagram.

Kemudian dia menyatakan hasrat hatinya terhadap saya. Kami bertemu ketika dia pulang bercuti sekejap di Malaysia. Dalam masa dua minggu saya perlu membuat keputusan.

Sebelum mengambil keputusan iaitu sehari sebelum dia muncul di stesen TV untuk mengongsikan kisahnya menghadapi kanser, isteri saya menceritakan keadaan dirinya yang sakit”.



“Saya membuat keputusan bersetuju mengahwininya dan keluarga saya turut menyokong. Selepas berkahwin, isteri saya bertanya, ‘Mengapa awak menerima saya?”.

Kamal memberikan dua sebab seperti yang dinyatakan di atas kepada isterinya.

Dr Nik Idzni telah disahkan mengidap kanser renal cell carcinoma iaitu kanser buah pinggang pada tahun 2012 tatkala menuntut di tahun dua bidang perubatan di University Queen Mary, London.

Seorang doktor yang merawatnya bertanya, “Betulkah awak mahu terus belajar walaupun awak tahu awak tidak dapat menghabiskannya?”.

Doktor itu juga mencadangkan beliau menghabiskan masa yang ada bersama keluarga.

Namun, Dr Nik Idzni tidak mahu membuang masa atau tidak berbuat apa-apa. Beliau berazam untuk menamatkan pengajian dan menjadi doktor, cita-citanya sejak kecil.

Dengan izin Allah, beliau lulus peperiksaan tahun akhir dan kemudian menjalani housemanship beliau di UK sambil meneruskan rawatan. Semasa di UK, suaminya datang menziarahinya sebanyak tiga kali.

Beliau kembali ke Malaysia dan keadaan penyakitnya semakin kritikal. Kamal Effendi meneruskan bukti cintanya dengan menemani Dr Nik Idzni untuk menjalani rawatan hospital hinggalah beliau meninggal pada 27 Disember yang lalu di Kajang.

“Saya tidak menyangka dia akan pergi secepat itu. Saya sentiasa berdoa mengharapkan isteri saya kembali sembuh. Tetapi Allah menentukan segalanya.

Saya mengharapkan hikmah dari Allah dan syurga-Nya. Saya yakin kepada memberi kerana apa yang kita beri kita akan mendapat kembali”.

Kamal Effendi turut berpesan kepada para audien forum yang banyak menanya tip-tip cinta dan memilih pasangan hidup,



“Setelah kita membuat pilihan, kita mesti hadapi setiap ujian yang mendatang dengan positif kerana setiap pilihan datang bersama ujian. Tidak ada pilihan yang sempurna.

Saya dapati isteri saya amat positif terhadap apa pilihannya dan itulah yang memberikan dia kekuatan”.

Forum “Tunnel of Love – Bukan Cinta Biasa” adalah antara aktiviti mengumpul dana anjuran TFS –Twenties for Smileys, penganjur program misi kemanusiaan peringkat antarabangsa di kalangan para pelajar CUCMS.

Para pelajar CUCMS kini sedang giat mengumpul dana untuk menjayakan projek PEACE Nepal 2017 – Post Earthquake Community Embrace Nepal 2017.

Falsafah pendidikan di CUCMS sejak penubuhannya pada tahun 2005 turut menekankan nilai keprihatinan, kesukarelawan dan kemanusiaan.

Para pelajarnya amat aktif dengan pelbagai program misi kemanusiaan sama ada di Malaysia mahu pun di luar negara.

Pada Julai tahun ini 40 para pelajar CUCMS daripada disiplin sains perubatan dan kesihatan bersekutu akan ke Kathmandu, Nepal bagi membawa bantuan perubatan dan menjalankan khidmat komuniti bagi meringankan beban penduduk yang ditimpa gempa bumi.

TFS mensasarkan dana dan tajaan berjumlah RM180,000.00 untuk PEACE NEPAL 2017 dan sehingga kini telah mengumpul sebanyak RM60,000.00.

Pelbagai aktiviti untuk mengumpul dana diusahakan. Forum malam tadi mengenakan yuran masuk sebanyak RM20.00 seorang dan semua kutipan adalah untuk misi tersebut.

Orang ramai boleh memberi derma atau mendapat maklumat misi ini melalui Ketua Perhubungan Awam PEACE NEPAL 2017, Muzakkir Marzukki 012-4951203 atau melayari facebookhttps://www.facebook.com/cucmscharity/

Pada tahun 2016, TFS menghantar 40 orang pelajar untuk misi bantuan kemanusiaan dan khidmat perubatan di Vientiane, Laos sementara pada tahun 2015 mereka ke Pekan Baru, Riau, Indonesia.



(Penulis adalah Profesor Madya di CUCMS dan Penasihat Twenties for Smileys, PEACE Nepal 2017, CUCMS dan Laos International Family Endeavor 2016)



Sumber : twentiesforsmiles.wordpress.com
Loading...
loading...

0 Response to "SAYU: Beliau Berkahwin Dengan Pesakit Kanser Untuk Membahagiakannya..."

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close